Lelaki maut jatuh bangunan ketika larikan diri dalam serbuan

Jasmin Hussin
Jasmin Hussin
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki warga asing maut selepas terjatuh dari bangunan tingkat satu ketika cuba melarikan diri daripada diperiksa polis dalam serbuan di premis hiburan di pusat komersial BDC, Jalan Chong Thien Vun pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit ditemukan dalam keadaan terbaring di jalan raya dengan berlumuran darah sebelum disahkan meninggal dunia selepas kira-kira tujuh jam dihantar ke Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan di pusat hiburan yang disyaki beroperasi lebih masa di kawasan itu.

Ketika serbuan, pemeriksaan yang dijalankan berjaya menahan lima individu berusia antara 17 hingga 45 tahun kerana dipercayai masuk dan tinggal di negara tanpa dokumen yang sah.

"Pemeriksaan lanjut di luar belakang premis berjaya menahan seorang lelaki dan seorang lagi ditemui terbaring di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah dipercayai terjatuh dari aras satu bangunan ketika cuba melarikan diri untuk mengelak daripada diperiksa.

"Suspek kemudian dibawa oleh pihak ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi Selasa," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.

"Satu siasatan secara terperinci berhubung kejadian ini sehingga menyebabkan kematian sedang dijalankan.

"Justeru, pihak polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis," katanya.