[VIDEO] Kemungkinan ada orang lain masuk kokpit sebelum pesawat terhempas

Gambar fail menunjukkan sebuah pesawat Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines pada Februari lalu. - Foto CFP
Gambar fail menunjukkan sebuah pesawat Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines pada Februari lalu. - Foto CFP
A
A
A

WASHINGTON - Penyiasat-penyiasat Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat China Eastern Airlines yang terhempas pada Mac lalu di China adalah disebabkan oleh juruterbang atau orang lain di dalam kokpit kapal terbang itu, lapor The Wall Street Journal pada Selasa.

Pada 21 Mac lalu, penerbangan China Eastern MU5375 yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou menjunam dari ketinggian kira-kira 8,869 meter ke lereng gunung di Wuzhou sehingga menyebabkan kesemua 132 orang termasuk kru terkorban.

Perakam data penerbangan kotak hitam pesawat tersebut yang diperoleh dari lokasi nahas telah dihantar ke AS untuk dianalisis sebelum ini.

Data itu menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan juruterbang atau seseorang masuk ke dalam kokpit dan memasukkan arahan ke dalam data penerbangan sekali gus menyebabkan pesawat tersebut mengikut arahan supaya ia terjunam dari langit, lapor akhbar berkenaan.

Juruterbang kapal terbang Boeing 737-800 itu juga tidak menjawab panggilan yang dibuat berulang kali daripada pengawal trafik udara dan dari pesawat berhampiran semasa ia turun dengan pantas, kata pihak berkuasa.

"Pesawat itu melakukan apa yang diarahkan oleh seseorang (yang terdapat) di dalam kokpit," lapor akhbar berkenaan yang memetik sumber yang biasa dengan penilaian awal penyiasat AS itu.

Syarikat China Eastern Airlines tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen pada Selasa.

Bagaimanapun, The Wall Street Journal berkata, syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tiada bukti yang boleh menentukan sama ada terdapat sebarang masalah dengan pesawat tersebut atau tidak.

Kedutaan China di Washington turut tidak menjawab permintaan untuk memberikan komen kepada Reuters berhubung laporan The Wall Street Journal itu. - Agensi

@sinarharianonline Kemungkinan ada orang lain masuk kokpit sebelum pesawat terhempas #fyp#BuletinTikTok#TrendingNewsMalaysia#ChinaEasternMU5375 original sound - Sinar Harian