Kes HFMD di Melaka meningkat 24.6 kali ganda

Gambar kecil: Dr Muhamad Akmal
Gambar kecil: Dr Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka merekodkan peningkatan sebanyak 24.6 kali ganda sehingga 14 Mei lalu berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 1,322 kes dengan menjadikan jumlah keseluruhan kes HFMD 1,378 kes berbanding 56 kes yang didaftarkan pada tahun lalu.

Menurutnya, sehingga 12 Mei lalu jumlah kemasukan wad merekodkan sebanyak 67 kes iaitu peningkatan sebanyak enam kes berbanding minggu sebelumnya, bagaimanapun majoriti 91.4 peratus dirawat sebagai pesakit luar.

"95.5 peratus kes yang didaftarkan membabitkan bayi hingga kanak-kanak berusia enam tahun.

"Kes meningkat tetapi kes serius rendah dan tiada kematian dilaporkan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, secara keseluruhan taman didikan kanak-kanak (tadika), taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan merupakan bilangan wabak paling tinggi berlaku wabak HFMD dengan jumlah 12 wabak mewakili 75 peratus daripada 16 wabak yang telah dilaporkan.

Ujar beliau, daerah Jasin masih mencatatkan bilangan wabak yang tertinggi iaitu 11 wabak, 68.8 peratus diikuti Melaka Tengah empat wabak dengan 25 peratus, dan daerah Alor Gajah dengan satu wabak iaitu 6.2 peratus.

Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 12 premis telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berlakunya wabak HFMD di premis tersebut.

"Saya yakin Jabatan Kesihatan Negeri mampu untuk mengawal penularan dan mohon rakyat mengambil berat nasihat yang telah dikeluarkan bagi mengekang penularan wabak ini," katanya.