Malaysian Tigers buru empat terbaik Piala Asia

Skuad Malaysian Tigers menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia. - Foto Facebook MHC
Skuad Malaysian Tigers menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia. - Foto Facebook MHC
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara meletakkan sasaran berada dalam kelompok empat terbaik Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia bermula 23 Mei sehingga 1 Jun ini, sekali gus layak secara automatik pada Piala Dunia 2023.

Pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, beliau yakin misi tersebut dapat dilaksanakan memandangkan barisan pemainnya telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Kami telah mengumpul maklumat mengenai pasukan yang akan ditemui pada kejohanan tersebut. Bagi aksi peringkat kumpulan, kami juga mempunyai peluang melihat perlawanan melibatkan Korea Selatan dan Bangladesh terlebih dulu sebelum turun bertemu mereka.

“Matlamat utama kami ialah untuk layak ke Piala Dunia dan kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Kejohanan ini menggunakan sistem Super 4 yang mana dua pasukan teratas Kumpulan A dan B akan bertemu secara liga satu pusingan.

“Jika India berada dalam kelompok Super 4, ini bermakna keempat-empat pasukan layak ke Piala Dunia 2023. Namun, jika India tiada di dalam kelompok tersebut, ini bermakna hanya tiga pasukan akan mendapat slot automatik tersebut,” katanya.

Kapten Malaysian Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil pula memberitahu, dia dan rakan-rakan sepasukannya berpegang kepada prinsip untuk bermain sebagai satu pasukan dalam misi memburu kejayaan.

“Sasaran yang diletakkan kepada kami ialah untuk layak ke Piala Dunia. Namun, untuk sasaran persendirian pasukan adalah kami ingin muncul selaku juara Piala Asia 2022.

“Saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan untuk mengambil setiap tekanan yang ada sebagai sesuatu yang positif dan menjadikan tekanan tersebut sebagai kekuatan juga keyakinan untuk bermain.

“Setiap pemain telah mengetahui kelebihan dan kekuatan yang dimiliki dan kini apa yang perlu mereka lakukan ialah menterjemahkannya di dalam perlawanan,” jelasnya.