KDA FC, Negeri Sembilan FC kongsi satu mata

Aksi seimbang ditunjukkan oleh KDA FC dan NS FC sebaik wisel perlawanan dibunyikan dan keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto MFL
Aksi seimbang ditunjukkan oleh KDA FC dan NS FC sebaik wisel perlawanan dibunyikan dan keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto MFL
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dan Negeri Sembilan FC terpaksa berpuas hati mengutip satu mata apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi kesembilan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman, pada Selasa.

Aksi seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan sebaik wisel permulaan dimulakan dengan NS FC cuba mengempur gawang tuan rumah namun berjaya digagalkan barisan pertahanannya.

KDA FC berpeluang berada di hadapan menerusi satu sepak percuma menarik Al Hafiz Harun pada minit ke-24, namun percubaanya berjaya ditepis keluar penjaga gol pelawat, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Skuad Sang Rusa juga hampir mencetakkan gol sebelum separuh masa pertama tamat apabila David Mawutor hanya berhadapan dengan penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim namun gagal apabila berjaya ditepi keluar oleh Ifwat pada minit ke-47.

Pada separuh masa kedua, larian solo Ronald Ngah meninggalkan tiga pertahanan NS FC selepas menerima hantaran Fazrul Danel pada minit ke-64 hampir meletakkan KDA FC di hadapan namun percubaan lemahnya berjaya ditangkap oleh Syihan.

Pada minit ke-72, pertahanan pelawat, Ahmad Khuzaimi Piee menguji Ifwat menerusi sepakan percuma menarik namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol tersebut untuk sekali lagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Menuju ke penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan terus berbalas serangan namun keputusan 0-0 kekal sehingga ke wisel penamat.