Sarawak United gagal manfaat peluang beraksi di laman sendiri

Pemain Import Kuala Lumpur City FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez cuba melepasi dua pemain Sarawak United FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, pada Selasa. - Foto Bernama
Pemain Import Kuala Lumpur City FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez cuba melepasi dua pemain Sarawak United FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT Sarawak United untuk meraih kemenangan pertama di laman sendiri pada musim ini tidak kesampaian apabila tewas 2-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah bermula garang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi rembatan padu luar kotak penalti pemain sayap S.Chanturu.

Tersentak dengan gol tersebut, anak buah Bojan Hodak kembali mengatur serangan dengan melancarkan beberapa serangan kearah kubu lawan, namun berjaya dinafikan benteng pertahanan Sarawak United.

Bagaimanapun kekebalan itu tidak kekal lama apabila KL City berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-35 menerusi pemain import, Paulo Josue yang berjaya menyudahkan hantaran Zhafri Yahya, sekali gus menyaksikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat wisel separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah B Sathianathan berpeluang untuk kembali memimpin perlawanan, namun situasi lawan satu antara Nur Shamie Iszuan Amin dan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza gagal digunakan sebaiknya apabila rembatannya tersasar ke tepi gawang.

Percaturan Bojan memasukkan Hadin Azman dan J Partiban nyata membuahkan hasil apabila gerakan gandingan itu berjaya menghasilkan gol kemenangan buat skuad warga kota pada minit ke-88.

Keputusan itu menyaksikan Sarawak United hanya berjaya mengutip satu mata daripada enam perlawanan selepas tewas dalam lima aksi sebelum ini.

Bagi skuad warga kota, kemenangan itu merupakan kali kedua berturut-turut yang berjaya diraih selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.