Kok Leong menang emas perseorangan 6-Red snuker

Kok Leong memenangi pingat emas Sukan SEA acara perseorangan 6-Red snuker lelaki di Ha Dong Gymnasium pada malam Selasa. - Foto MSN
Kok Leong memenangi pingat emas Sukan SEA acara perseorangan 6-Red snuker lelaki di Ha Dong Gymnasium pada malam Selasa. - Foto MSN
A
A
A

PEMAIN snuker negara, Lim Kok Leong memastikan pingat emas Sukan SEA acara perseorangan 6-Red snuker lelaki kekal dalam genggaman Malaysia dengan memenangi pingat itu di Ha Dong Gymnasium, malam Selasa.

Pemain berusia 27 tahun itu mengalahkan Jefrey Roda dari Filipina 5-3 pada perlawanan akhir bagi memenangi pingat emas individu pertamanya di Sukan SEA selepas acara itu ditandingkan semula pada temasya dwitahunan selepas sembilan tahun.

"Tiada tekanan untuk saya dan saya ambil kesempatan atas kekurangan pengalaman Jefrey kerana beliau masih muda. Saya gembira untuk menang. Saya mahu berterima kasih kepada Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) atas sokongan mereka,” katanya.

Pada separuh akhir, Kok Leong sebelum itu mengalahkan Suchakree Poomjang dari Thailand 5-2, manakala Jefrey mengalahkan seorang lagi pemain Malaysia, Moh Keen Hoo 5-3. Kedua-dua pemain yang tewas pada separuh akhir, berkongsi pingat gangsa.

Kok Leong dan Keen Hoo menang pingat emas beregu pada edisi Filipina 2019.

Acara perseorangan 6-Red snuker sebelum ini pernah dipertandingkan dua kali di Sukan SEA iaitu di Korat 2007 dan Myanmar 2013.

Pemain snuker Malaysia Thor Chuen Loong menang emas pada edisi 2013. - Bernama