Irfan sambar emas Sukan SEA kali kelima

Irfan bersama pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
Irfan bersama pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH negara, Muhammad Irfan Shamsuddin memenangi pingat emas buat kali kelima berturut-turut dalam acara lempar cakera Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh pada Selasa.

Atlet berusia 26 tahun yang bertubuh tinggi dan sasa itu mencatat lemparan terbaiknya pada jarak 58.26 meter (m) dalam percubaan kedua.

Wakil Thailand, Kiadpradid Srisai memperoleh perak dengan lemparan 51.18m dan atlet Filipina, William Morrison yang mencatat lemparan 50.44m membawa pulang gangsa.

Irfan yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan lemparan 62.55m di Austria pada 2017, memperoleh emas Sukan SEA pertamanya semasa edisi Myanmar 2013.

Pemenang pingat perak Kejohanan Asia 2017, kemudian mempertahankan emas pada edisi 2015 di Singapura, Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.

Biarpun penguasaan Irfan selama hampir sedekad dalam Sukan SEA dan mempunyai rekod peribadi lebih baik, rekod kejohanan 59.50m yang dipegang bekas atlet Singapura, Wong Tuck Yim pada edisi Brunei 1999 masih belum dapat dihampirinya.

Bercakap kepada pemberita, Irfan berkata, walaupun gembira dapat menyumbangkan emas buat negara, dia tidak gembira dengan keputusan itu kerana percaya mampu melakukan lemparan yang lebih baik.

"Kecewa sebab dalam latihan saya konsisten, setiap hari baling lebih 60m. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk peningkatan dan saya akan kembali di Kemboja tahun hadapan untuk mempertahankan emas saya dengan rekod baharu kejohanan.

"Selepas ini saya akan berlepas untuk menyertai Jelajah Eropah yang juga merupakan persiapan saya untuk Sukan Komanwel Birmingham 2022,” katanya. - Bernama