StanChart unjur KDNK Malaysia 7.0 peratus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka kembali melebihi paras sebelum pandemik dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 kepada 7.0 peratus daripada 6.2 peratus berdasarkan pertumbuhan KDNK suku pertama yang lebih kukuh daripada jangkaan, menurut Standard Chartered Bank (StanChart).

Bank turut mengekalkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2022 berjumlah 75 mata asas (bps), dengan dua lagi kenaikan pada Julai dan September 2022, menjadikannya naik kepada 2.5 peratus pada akhir 2022.

StanChart berkata "pemulihan pertumbuhan berasaskan luas” yang menyaksikan semua komponen berkembang suku ke suku, dengan pengecualian pelaburan dan perdagangan dalam perkhidmatan kekal di bawah paras sebelum pandemik sehingga suku pertama.

"Dari segi industri, sebanyak 18 daripada 21 sektor berkembang suku ke suku dan kami menganggarkan bahawa 74 peratus daripada ekonomi melebihi paras sebelum COVID,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut bank, pasaran buruh juga terus pulih, dengan pertumbuhan pekerjaan yang kukuh dan keadaan yang lebih ketat membawa kepada pertumbuhan gaji yang lebih tinggi.

Katanya pemulihan ekonomi dan pasaran buruh "mewajarkan” langkah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan proses menormalkan dasar monetari daripada tetapan kecemasan.

"Kami menjangka proses menormalkan dasar monetari daripada tetapan kecemasan akan berterusan. Walaupun tekanan inflasi tidak ketara, kadar dasar rendah semasa dilihat tidak sepadan dengan pemulihan ekonomi,” katanya.

StanChart berkata BNM mungkin mahu "mengambil peluang daripada pertumbuhan yang teguh untuk membina ruang dasar” berikutan panduan dasar menunjukkan dijangka lebih banyak kenaikan kadar.

Bagaimanapun, bank itu menurunkan unjuran KDNK 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini, berikutan kesan asas yang tinggi. - Bernama