X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Kerugian ekonomi akibat banjir cecah sehingga RM6.5 bilion

MIH 2021 mengkaji cabaran utama risiko banjir yang tidak diinsuranskan di Malaysia di mana secara purata hanya kira-kira 10 peratus daripada kerugian ekonomi itu dilindungi.
A
A

MALAYSIAN Reinsurance Bhd (Malaysian Re) mendedahkan bahawa banjir yang berlaku pada Disember tahun 2021 telah mengakibatkan kerugian ekonomi antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion.

Malaysian Re dalam satu kenyataan berkata jumlah itu dinyatakan dalam Malaysian Insurance Highlights (MIH) 2021, edisi ketiga terbitan Thought Leadership yang dilancarkan pada Selasa untuk mengkaji kesan banjir terhadap ekonomi Malaysia dan pasaran insurans.

"MIH 2021 mengkaji cabaran utama risiko banjir yang tidak diinsuranskan di Malaysia di mana secara purata hanya kira-kira 10 peratus daripada kerugian ekonomi itu dilindungi.

"Menurut MIH 2021, penanggung insurans Malaysia menanggung kira-kira RM1.5 bilion hingga RM2.0 bilion (AS$360 juta hingga AS$480 juta) atau 20 peratus hingga 30 peratus daripada kerugian ekonomi apabila bahagian yang tinggi bagi hartanah perkilangan terjejas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Zainudin Ishak berkata, MIH 2021 memberitahu bagaimana mata pencarian dan hartanah di seluruh negara terjejas teruk oleh malapetaka pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kos insurans banjir agak nominal. Perlindungan ini tersedia sebagai lanjutan kepada polisi kebakaran standard dan berharga kira-kira 0.086 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan.

"Penetapan harga risiko itu dianggap tinggi dan selalunya hanya dibeli di kawasan yang terdedah kepada banjir atau berikutan kejadian yang berlaku baru-baru ini," katanya.

MIH 2021 menekankan keperluan untuk menangani jurang perlindungan ini apabila risiko banjir meningkat kerana permintaan perlindungan banjir dipengaruhi oleh sokongan kerajaan terhadap kerugian yang dialami oleh segmen berpendapatan rendah.

"Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kerajaan menyokong mereka yang terjejas dengan menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.

Edisi ketiga MIH itu juga memberitahu, bahawa banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas memberi kesan kepada harga perlindungan banjir dalam pasaran insurans Malaysia.

Penanggung insurans juga dijangka menyemak semula struktur insurans semula mereka untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan yang mencukupi hasil daripada pemahaman yang lebih mendalam tentang risiko akibat banjir di negara ini.

Zainudin berkata, Malaysian Re bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membangunkan penyelesaian yang akan mengumpul kumpulan yang mampu untuk menginsuranskan dengan golongan yang tidak mampu.

"Daripada sudut pandangan insurans, wujud keperluan untuk mengadakan perbincangan yang lebih mendalam bagi mencari penyelesaian dalam melindungi risiko banjir di Malaysia dengan lebih baik dengan mendapat kerjasama daripada sektor insurans, pengawal selia (BNM), NADMA dan kerajaan.

"Sebelum ini, tumpuan diberikan kepada pembangunan perlindungan yang menangani pendedahan segmen berpendapatan rendah penduduk Malaysia; penyelesaian semasa bertujuan untuk memberikan perlindungan yang lebih pantas dan merangkumi semua bahagian masyarakat atau pemegang polisi," kata Zainudin. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!