Guru KAFA tolak vaksin dakwa 'teraniaya'

Notis penamatan kontrak yang diberikan oleh JAIS kepada guru KAFA akibat menolak vaksin Covid-19.
Notis penamatan kontrak yang diberikan oleh JAIS kepada guru KAFA akibat menolak vaksin Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang menolak ambil suntikan vaksin Covid-19 mendakwa dianiayai oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setelah diarahkan bertugas walaupun digantung elaun pada Mac dan April lalu.

Salah seorang guru KAFA yang ingin dikenali sebagai Mad, 26 memaklumkan perkara tersebut tidak bertepatan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad pada hujung Mac lalu berkenaan pergantungan tugas terhadap golongan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Mad berkata, mereka turut diasingkan daripada guru dan pelajar mereka mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Disebabkan tiada lokasi spesifik ditulis dalam garis panduan itu (untuk tujuan pengasingan), ada yang ditempatkan di bilik yang panas dan ia menyeksa guru tersebut.

"Selain itu, ada juga guru lain yang sedang sarat mengandung disuruh untuk mencuci tandas. Kami merasakan tindakan ini zalim," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mad turut memaklumkan bahawa kontrak perkhidmatan mereka ditamatkan pada bulan ini kerana masih berkeras untuk tidak mengambil vaksin Covid-19.

Katanya, ia bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan golongan tersebut hadir mengajar di sekolah.

"Kami sudah berjumpa dengan peguam untuk membela nasib kami dan mengumpulkan notis-notis penamatan kontrak tersebut kepadanya.

"Tindakan seterusnya akan ditentukan oleh peguam tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, guru KAFA dari Hulu Langat yang ingin dikenali sebagai Nur, 28 menceritakan pernah disuruh mencuci tandas dan mengunci pintu pagar sekolah ketika dia sarat mengandungkan anak keduanya berusia lapan bulan pada Januari lalu.

Mengakui terkejut diperlakukan sedemikian, Nur bagaimanapun reda dengan arahan tersebut yang dianggap tidak berperikemanusiaan.

"Saya harap JAIS yang lebih arif tentang agama membela nasib para guru agama.

"Jangan hanya disebabkan vaksin Covid-19, sampai begini kami diperlakukan, pada saya tidak wajarlah," katanya.

Turut mengajar dalam daerah sama ialah guru KAFA yang ingin dikenali sebagai Ida, 36 yang ditempatkan di dewan panas di sekolahnya ketika diasingkan pada September tahun lalu hingga Februari lalu.

Dia yang menolak pengambilan suntikan vaksin Covid-19 atas faktor kesihatan pernah menghantar surat tunjuk sebab kepada pihak JAIS dengan melampirkan rekod kesihatannya, namun mendakwa dokumen tersebut tidak dihiraukan.

"Saya memang mempunyai masalah kesihatan kerana sebelum ini kandungan saya pernah gugur pada tujuh tahun lepas dan pernah lumpuh sebelah kaki akibat suntikan epidural hingga tidak bekerja selama tiga bulan.

"Kami rasa terkilan kerana kenyataan JAIS yang disampaikan kepada media itu sangat tidak benar kerana kami dikatakan digantung tugas, tapi sebenarnya digantung elaun," katanya yang berkecimpung dalam bidang pendidikan selama 19 tahun.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak JAIS berhubung dakwaan dalam isu ini.