Sila log masuk terlebih dahulu.

Penduduk Apartmen Harmoni perlu dana bina surau

Elizabeth Wong (dua kanan) menyumbang RM10,000 untuk tabung pembinaan Surau Nurhidayah, Apartmen Harmoni, Damansara Damai kepada Mohd Nur Anuwar (tengah).
Elizabeth Wong (dua kanan) menyumbang RM10,000 untuk tabung pembinaan Surau Nurhidayah, Apartmen Harmoni, Damansara Damai kepada Mohd Nur Anuwar (tengah).
A
A
A

PETALING JAYA – Penduduk di Apartmen Harmoni, Damansara Damai memerlukan kemudahan surau untuk beribadah selain melaksanakan pelbagai aktiviti lain dengan lebih selesa.

Ahli jawatankuasa pembinaan surau berkenaan, Mohd Nor Anuwar Mokhtar berkata, kos keseluruhan pembinaan surau berkenaan berjumlah RM600,000.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya membenarkan projek pembinaan bermula selepas separuh daripada kos dana dapat dikumpul,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Nor Anuwar berkata, ketika ini jumlah dana yang diperoleh hasil daripada sumbangan orang ramai adalah berjumlah kira-kira RM100,000.

“Jawatankuasa pembinaan surau telah memulakan gerak kerja sejak tahun 2018 dan dalam tempoh itu pelbagai cara dan kaedah dilakukan untuk mencukupkan wang ada.

“Buat masa ini kami menggunakan surau sementara yang disediakan pemaju di lot rumah kedai yang agak sempit,” katanya,

Jelasnya, penduduk di situ yang mendiami 2,605 unit rumah bersama sebuah lagi apartmen berhampiran majoritinya beragama Islam.

“Kami berharap ada dermawan-dermawan sudi menyumbang bagi merealisasikan pembinaan surau kerana mereka yang menyumbang boleh dikecualikan daripada membayar cukai kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, pihaknya mengambil maklum tentang isu berkenaan dan bersedia untuk membantu.

“Untuk permulaan pihak saya akan menyumbang RM10,000 untuk tabung pembinaan surau di Apartmen Harmoni ini,” katanya.

Elizabeth berkata, selain itu, pihaknya juga akan memohon kepada menteri besar dan kerajaan negeri bagi membantu mencukupkan kos agar pembinaan surau dapat dimulakan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Surau Nurhidayah: Bank Islam 12289010014135 atau hubungi talian 0123336071 (Anuwar) 019-6832079 Mohd Kaswari.