Prestasi hambar skuad futsal, FAM analisis laporan perlawanan

Mohd Saifuddin
Mohd Saifuddin
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan menganalisis laporan setiap perlawanan skuad futsal lelaki kebangsaan pada Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam susulan prestasi hambar skuad itu pada temasya berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, laporan analisis berkenaan dibuat bagi mengenal pasti kelemahan serta kekurangan skuad futsal lelaki negara semasa beraksi di Vietnam.

"Terlalu awal untuk saya beritahu, kerana kita kena tunggu juga laporan supaya adil bagi pengurus pasukan, jurulatih dan pemain, untuk sama-sama kita duduk dan membincangkan (sekiranya terdapat kelemahan).

"Analisis ini bagi saya bukanlah suatu yang baharu, seperti mana yang saya maklumkan tadi, kita kena tunggu laporan yang akan dianalisis oleh unit teknikal yang diketuai oleh skuad ordinal,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, dekat sini pada Selasa.

Pada Isnin, perjuangan skuad futsal lelaki kebangsaan memburu pingat di Sukan SEA berakhir, selepas tewas 0-3 kepada Indonesia di Kompleks Sukan Ha Nam.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut skuad bimbingan Chiew Chun Yong dalam saingan liga sepusingan temasya sukan dwitahunan itu, selepas dibelasah Thailand dan Vietnam sebelum ini.

Anak buah Chun Yong akan menamatkan baki saingan dengan berdepan Myanmar, yang turut gagal melakar sebarang kemenangan dalam dua perlawanan pertama mereka di venue sama, Jumaat ini.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, manakala ia tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina. - Bernama