Suspek cabul kanak-kanak perempuan direman

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki direman lima hari berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam lif sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kerinchi 14 Mei lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Reman terhadap suspek telah diperoleh selama lima hari bermula 16 Mei hingga 20 Mei," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam lif sebuah PPR di sini.

Polis dalam satu kenyataan berkata, kes itu akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Kuala Lumpur.

Berdasarkan keterangan, pihak polis percaya suspek mengalami masalah mental dan akan membawa suspek ke Hospital Bahagia selepas mendapat perintah mahkamah.

Mangsa mendakwa suspek yang berusia lingkungan 30-an itu kemudian bertindak mengejar mangsa dan menahan pintu lif sebelum meraba alat sulit serta dada kanak-kanak perempuan itu.

Ibu mangsa mendakwa kejadian itu pernah berlaku sebelum ini dan laporan polis dibuat kerana risau akan keselamatan diri serta anaknya.