Sila log masuk terlebih dahulu.

Dua PM Libya berebut kuasa

Fathi (kanan) terpaksa meninggalkan Tripoli demi menjaga keselamatan penduduk selepas pertempuran sengit itu tercetus pada Selasa. - Foto Agensi
Fathi (kanan) terpaksa meninggalkan Tripoli demi menjaga keselamatan penduduk selepas pertempuran sengit itu tercetus pada Selasa. - Foto Agensi
A
A
A

TRIPOLI - Pertempuran sengit tercetus antara dua penyokong pentadbiran yang bertelagah di ibu kota Libya sekali gus menyebabkan situasi di negara Afrika Utara kaya minyak itu kembali meruncing sejak insiden bekas pemimpin Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011.

Kejadian itu tercetus sejurus Perdana Menteri, Fathi Bashagha yang diiringi beberapa menteri lain tiba di Tripoli pada Selasa untuk memulakan tugas mereka hingga menyebabkan insiden berbalas tembakan dengan kumpulan militia yang menyokong pentadbiran terdahulu, Abdulhamid Dbeibah bertukar ganas.

Bagi mengelakkan insiden menjadi lebih buruk, Fathi yang dinamakan sebagai perdana menteri oleh Parlimen di bandar timur Tobruk pada Februari lalu terpaksa akur untuk meninggalkan ibu kota tersebut beberapa jam kemudian.

“Kami berundur demi memelihara keselamatan penduduk,” ujar jurucakap akhbar beliau dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Fathi telah berusaha untuk mengambil alih pentadbiran di Tripoli, namun pendahulunya, Abdulhamid enggan menyerahkan kuasa dan menyatakan hanya akan berbuat demikian dengan pengganti yang dipilih secara sah.

Penubuhan dua kerajaan itu berlaku dalam tempoh negara itu masih bergelut dengan konflik perang saudara antara 2014 dan 2021.

Pengeluaran minyak yang menjadi sumber utama pendapatan negara sekali lagi menjadi pertikaian politik dengan kebangkitan puak di timur yang mahukan kuasa pentadbiran dipindahkan kepada Fathi. - AFP

Info:

Artikel Berkaitan:

>Pada Februari lalu, Parlimen di bandar timur Tobruk melantik Fathi Bashagha yang merupakan bekas menteri dalam negeri sebagai perdana menteri.

>Sehingga kini, beliau gagal untuk menyingkirkan kerajaan perpaduan yang dipimpin Abdulhamid Dbeibah yang ditubuhkan pada 2020 sebagai sebahagian daripada usaha untuk meredakan konflik selama sedekad di negara itu.

>Abdulhamid memimpin negara itu sehingga pilihan raya pada Disember lalu, namun proses pemilihan itu ditangguhkan secara kekal. Pesaing politik beliau mendakawa mandat pemimpin itu telah tamat.

>Pada Mac lalu, kumpulan bersenjata pro-Fathi telah dikerahkan ke pinggir Tripoli hingga cetuskan kebimbangan jika sebarang konfrontasi akan menamatkan gencatan senjata rapuh yang dikuatkuasakan sejak Oktober 2020.

>Fathi disokong 'orang kuat' di bahagian timur, Khalifa Haftar yang mengetuai rancangan untuk merampas Tripoli pada 2019-20 dan kini kekal memegang kawalan beberapa kemudahan minyak utama.