Isu kanak-kanak: Kerajaan Johor perlu ikut garis panduan UNICEF

Tunku Ismail (dua dari kiri) dan Che Puan Khaleeda (dua dari kanan) ketika mendengar taklimat pada lawatannya di CIC IPK Johor di sini, pada Selasa
Tunku Ismail (dua dari kiri) dan Che Puan Khaleeda (dua dari kanan) ketika mendengar taklimat pada lawatannya di CIC IPK Johor di sini, pada Selasa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor digesa untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menggunakan garis panduan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memperkasa sebarang usaha yang melibatkan isu kanak-kanak di negeri ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ia bertujuan untuk melaksanakan pelbagai usaha selain menambah baik prosedur operasi standard (SOP) yang ada sekali gus meningkatkan kesedaran awam.

“Saya secara tegas berpandangan apa jua bentuk penderaan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan.

“Menjadi tanggungjawab semua bangsa Johor untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebooknya di sini, pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan Tunku Ismail selepas beliau dan isterinya, Che Puan Khaleeda Bustaman berkenan melawat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Selasa.

Tunku Ismail (tujuh, dari kiri) bersama tetamu kehormat ketika melawat CIC IPK Johor di sini, pada Selasa
Tunku Ismail (tujuh, dari kiri) bersama tetamu kehormat ketika melawat CIC IPK Johor di sini, pada Selasa

Dalam lawatan itu, Tunku Ismail berkata, Istana Johor dan Kerajaan Negeri akan menyalurkan sumbangan bagi menambahbaik fungsi fasiliti tersebut selain membangunkan dua lagi CIC yang baharu.

“Bantuan sumbangan ini adalah bagi memperkasa kekuatan pasukan polis D11 selain menyediakan dua lagi CIC di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Iskandar Puteri.

“Pembangunan CIC baharu ini juga adalah bagi melancarkan usaha PDRM dalam menjalankan siasatan serta menyelesaikan kes-kes penderaan kanak-kanak di Johor,” katanya.