X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Ravi nafi sengaja buat kecoh

M Ravi
A
A

PORT DICKSON - Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk M Ravi menafikan sengaja menimbulkan kekecohan pada Pemilihan PKR 2022 di Pusat Pengundian Fizikal Cabang Port Dickson pada Isnin.

Ravi yang merupakan penyandang Ketua Cabang Port Dickson berkata, beliau bersama dua lagi calon Ketua Cabang bersuara kerana mempunyai bukti berlakunya penipuan dalam pemilihan diadakan.

"Kita bukan sengaja nak buat bantahan kerana kita kalah. Tapi kita ada bukti kukuh berlaku penipuan yang mana antaranya pengawas yang dilantik merupakan 'orang' MB (Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun).

"Sepatutnya pengawas yang dilantik perlu luar dari Port Dickson. Kita telah pun buat bantahan melalui dalam talian, tunggu saja keputusannya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ravi berkata, mereka bersuara demi ketelusan dan keadilan dalam pemilihan diadakan.

Tambahnya, jika pemilihan cabang itu diadakan semula, pengawas yang dilantik perlulah luar dari Port Dickson atau lebih baik luar dari Negeri Sembilan.

"Kita parti Keadilan sepatutnya perlu bersikap adil dalam pengurusan dan pemilihan ini. Saya berharap dibuat pemilihan semula.

"Saya akui bila terpaksa buat pemilihan kali kedua, ia merugikan calon kerana telah berbelanja sebelum ini dari soal pengangkutan dan makan minum. Tapi kalau nak ketelusan, buatlah semula," katanya.

Sementara itu, katanya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diharap dapat menyiasat segala dakwaan dan jika terbukti penglibatan Aminuddin dalam urusan pemilihan diadakan, pencalonannya perlu dibatalkan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan pemilihan Cabang Port Dickson kecoh susulan dakwaan berlaku penipuan.

Tiga calon Ketua Cabang iaitu Ravi, Datuk Halim Khomiza dan Sivalinggam sepakat membantah Pemilihan PKR Cabang itu.

Mereka mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon Ketua Cabang Port Dickson telah memanipulasi pemilihan itu dan menyalahgunakan kuasa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!