MPHS gerak anggota bantu bersih lokasi terjejas banjir

Misi bantuan banjir oleh anggota MPHS di lokasi terjejas.
Misi bantuan banjir oleh anggota MPHS di lokasi terjejas.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menghantar lebih 60 anggota bagi operasi pembersihan di beberapa lokasi terjejas banjir di daerah itu.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, bantuan digerakkan pada Selasa ke Kampung Pasir dan Kampung Jawa Kerling yang terjejas teruk akibat banjir.

Menurutnya, empat tong roro melibatkan 12 tan sampah telah dikeluarkan daripada lokasi kejadian setakat jam 1 petang.

"Kerja pembersihan sedang dilakukan dan sisa banjir dari rumah penduduk masih dibawa keluar secara berperingkat.

"Setakat ini pembersihan melibatkan kawasan rumah dan laluan yang melibatkan pokok tumbang dan tanah runtuh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam kejadian Isnin, hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Selangor ditenggelami banjir kilat antaranya Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Ladang Estet Sungai Dua Kerling.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, dianggarkan 120 mangsa terjejas ekoran kejadian itu.

Mengulas lanjut, Mohd Hasry berkata, operasi pembersihan akan diteruskan pada Rabu dan diperluaskan ke lokasi lain yang turut terjejas.

"Beberapa anggota daripada jabatan dalaman MPHS seperti Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta selain Unit Pantas dari Jabatan Landskap terlibat dalam operasi pembersihan.

"Kita juga akan menggerakan pasukan dari KDEB Waste Management bagi membantu operasi pembersihan tersebut," katanya.