Syarikat penerbangan digesa ambil semula kru yang diberhentikan

- Gambar hiasan 123RF
- Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa agar syarikat penerbangan mempertingkatkan proses pengambilan semula pekerja mereka yang sebelum ini telah diberhentikan.

Nufam dalam satu kenyataan berkata, isu kelewatan dalam jadual penerbangan yang dialami ramai penumpang baru-baru ini berpunca daripada pesawat yang tidak mencukupi untuk menampung jadual operasi yang tinggi ketika musim perayaan.

Selain itu, katanya, ia juga melibatkan kru dan pekerja di syarikat penerbangan tidak mencukupi selepas syarikat terbabit telah menghentikan perkhidmatan pekerja mereka sewaktu pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

“Bila kerajaan mengumumkan semula pembukaan rentas negara, maka bermulalah masalah ini. Ia umpama bila hujan baru hendak sediakan payung.

”Justeru, Nufam menyeru syarikat penerbangan agar mempertingkatkan proses pengambilan pekerja mereka dengan secepat mungkin.

“Syarikat penerbangan ini harus mengambil semula semua pekerja yang berpengalaman dan yang telah diberhentikan kerana pekerja ini sudah ada pengalaman yang luas dan boleh membantu syarikat dalam keadaan mereka hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Nufam turut mempersoalkan tindakan mempromosikan pengambilan pekerja baharu kerana mendakwa ia akan membuang masa untuk melatih semula mereka.

“Berapa lamakah pula pekerja baharu ini pula akan dijadualkan dengan sepenuhnya? Kami dimaklum bahawa ada juga pekerja tidak berpuas hati kerana kakitangan untuk membantu masih tidak mencukupi dan ada yang terpaksa dipanggil balik ketika cuti.

“Nufam berpendapat, dengan adanya pengambilan pekerja yang lama akan membantu operasi syarikat kembali kepada situasi yang asal. Jangan tunggu-tunggu lagi,” katanya.

Susulan isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan yang berlaku baru-baru ini juga, Nufam turut menggesa agar mana-mana syarikat penerbangan yang belum pasti beroperasi dengan sepenuhnya, jangan cuba mengambil tempahan jika tidak mampu menampung operasi mereka.

“Harus diingat, jika penumpang sudah membeli tiket penerbangan, malah persiapan hotel serta penginapan lain sudah dibuat untuk percutian mereka, sudah tentunya penumpang akan lebih marah.

“Kami syorkan pekerja yang bertugas di lapangan terbang juga perlu memaklumkan kepada penumpang dengan lebih jelas agar tidak timbul sebarang kekeliruan dan kemarahan.

“Pihak yang bertanggungjawab ke atas operasi jadual penerbangan juga harus telus dengan masalah yang berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, penumpang akan lebih memahami jika sesuatu kelewatan itu berlaku berpunca kepada isu teknikal, cuaca dan keselamatan kerana masalah tersebut harus diberi keutamaan.