BBP Temerloh manfaat kawasan terbiar usahakan kebun hidroponik

Tanaman salad yang diusahakan menerusi program kebuniti itu telah dirasmikan oleh Nor Azmi (tengah) baru-baru ini.
Tanaman salad yang diusahakan menerusi program kebuniti itu telah dirasmikan oleh Nor Azmi (tengah) baru-baru ini.
A
A
A

TEMERLOH - Inisiatif beberapa anggota dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh mengusahakan tanah terbiar menerusi Program Pertanian Bandar Kategori Kebuniti akhirnya membuahkan hasil apabila tanaman salad dan timun kini telah mengeluarkan hasil.

Bukan itu sahaja, suasana di kawasan BBP Temerloh turut bertukar wajah dan ceria dengan kehijauan tanaman yang diusahakan sejak November tahun lalu.

Ketua Balainya, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail berkata, mereka memilih sistem hidroponik NFT dan fertigasi untuk projek tersebut yang disertai 10 anggota berdaftar dengan program terbabit.

Laman BBP Temerloh dimanfaatkan sepenuhnya menerusi program Pertanian Bandar Kategori Kebuniti
Laman BBP Temerloh dimanfaatkan sepenuhnya menerusi program Pertanian Bandar Kategori Kebuniti

"Setakat ini, tanaman yang diusahakan sejak hujung tahun lalu telah mengeluarkan hasil dan dijual kepada orang ramai.

"Hasil daripada kebun ini digunakan untuk membeli baja tanaman selain kegunaan ahli," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Syed Mohsen berkata, program itu juga merupakan salah satu inisiatif jabatan dalam usaha meningkatkan suasana persekitaran balai yang lebih ceria dan menarik.

"Malah program ini juga dilihat dapat memanfaatkan kawasan dan tanah yang terbiar dengan menjalankan aktiviti pertanian walaupun berskala kecil," jelasnya.

Anggota yang terlibat dalam kebuniti bekerjasama menjayakan program berkenaan sejak November tahun lalu.
Anggota yang terlibat dalam kebuniti bekerjasama menjayakan program berkenaan sejak November tahun lalu.

Menurutnya, majlis penyerahan dan perasmian program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin baru-baru ini.

"Jadi kita berharap program ini akan terus dimanfaatkan sebaik mungkin dan pada sama sama dapat merapatkan silaturahim serta semangat kerjasama dalam kalangan ahli," katanya.