13 Mei tarikh terus atau tarik balik kes seksual Syed Iqmal

Syed Shah Iqmal hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan kes seksual pada Selasa.
Syed Shah Iqmal hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan kes seksual pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 31 Mei ini sama ada akan menarik balik atau meneruskan pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Jamaludin Mat, Timbalan Pendakwa Raya P Vitiya Monisha berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Pendakwaan belum menerima arahan daripada AGC berhubung perkembangan baharu kes itu.

''Jadi kami mohon tarikh lanjutan selama sebulan," katanya.

Bagaimanapun, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili pendakwah itu berkata, pembelaan memohon tarikh yang lebih singkat iaitu dua minggu.

"Perkembangan kes telah dipertimbangkan sebelum ini dan kami percaya ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk diputuskan," ujarnya.

Dalam pada itu, pembelaan akan berusaha supaya Syed Shah Iqmal dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan tersebut.

Namun katanya, meskipun pengadu telah menarik balik laporan, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa meneruskan pendakwaan terhadap anak guamnya.

Sama ada pihak pendakwaan akan meneruskan kes atau tidak, beliau akan bersedia dalam kedua-dua keadaan.

Pada 20 April lalu, Sinar Harian melaporkan, perbicaraan jenayah seksual membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguhkan selepas mangsa tidak hadir bagi memberi keterangan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak mencabul seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.