Pas takkan beri laluan kepada Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

BAGAN SERAI - Pas Kawasan Bagan Serai tidak akan memberikan laluan kepada Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Yang Dipertuanya, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, tindakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu mengumumkan secara terbuka untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai disifatkan tidak wajar.

Menurutnya, kehadiran Wan Ahmad Fayhsal di kawasan Bagan Serai tidak mendapat mandat sama ada daripada Perikatan Nasional (PN) negeri mahupun pusat.

"Secara umumnya Pas Kawasan Bagan Serai tidak akan memberi laluan kepada Wan Ahmad Fayhsal disebabkan beliau turun tanpa mandat PN negeri mahupun PN pusat untuk menyatakan beliau calon Bagan Serai.

"Kita tak terima beliau sebagai calon Ahli Parlimen Bagan Serai," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dalam Program Sumbangan Kek kepada sekolah-sekolah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol di sini pada Selasa.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah menyerahkan kertas cadangan untuk Pas bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, kepimpinan tertinggi Pas pusat telah menerima pandangan mengenai kedudukan kerusi Parlimen itu dan mereka akan membuat keputusan terbaik untuk Pas bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai.

Abdul Aziz (kanan) mengiringi Razman (dua dari kanan) dalam Program Sumbangan Kek kepada sekolah-sekolah di sekitar DUN Semanggol pada Selasa.
Abdul Aziz (kanan) mengiringi Razman (dua dari kanan) dalam Program Sumbangan Kek kepada sekolah-sekolah di sekitar DUN Semanggol pada Selasa.

"Kita akan pastikan Pas bertanding kerana kebanyakan ahli dan penyokong mahukan Pas bertanding di kerusi tersebut dan mereka boleh menolak sesiapa sahaja calon bukan dari Pas.

"Ketika ini, jentera kita sentiasa bergerak bertemu dengan masyarakat dan bukan menunggu PRU semata-mata. Jentera kita juga mencukupi untuk melaksanakan tugas," katanya.

Dalam laporan media pada 14 Mei lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengakui kerusi Parlimen Bagan Serai dalam senarai pilihannya untuk ditandingi pada PRU15 nanti.

Menurut beliau, usaha menyantuni dan mendekati pengundi di kawasan berkenaan telah aktif digerakkan sejak dua tahun lalu termasuk memberikan bantuan semasa pandemik Covid-19 dan banjir.

Pemuda Pas Kawasan Bagan Serai sebelum ini menerusi satu memorandum mendesak PN memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada PRU15.

Tuntutan itu berasaskan fakta-fakta kukuh kerana antaranya Pas kawasan mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti gabungan lain.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai ketika ini adalah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada parti Bersatu.