Dua ditahan kes mayat bogel, tangan kaki diikat dalam sungai

Mayat yang dijumpai di Sungai Golok di Kampung Simpangan, Tumpat pada 6 Mei lalu. (Gambar kecil: Datuk Muhamad Zaki Harun )
Mayat yang dijumpai di Sungai Golok di Kampung Simpangan, Tumpat pada 6 Mei lalu. (Gambar kecil: Datuk Muhamad Zaki Harun )
A
A
A
KOTA BHARU - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan penemuan mayat seorang lelaki tanpa pakaian dengan tangan dan kaki diikat di Sungai Golok di Kampung Simpangan, Tumpat pada 6 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 20-an dan 30-an tersebut ditahan di Tumpat pada dua hari lalu.

“Berdasarkan siasatan awal polis, suspek-suspek tersebut adalah kenalan kepada mangsa dan mereka ditahan untuk membantu siasatan kes.

“Kami percaya penahanan kedua-dua suspek akan dapat membantu kami mengesan dua lagi suspek lain yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, pada Selasa.

Ujarnya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan penemuan satu mayat oleh orang awam di tepi sungai terbabit.

Mayat ditemukan berada dalam keadaan telangkup dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain.

Mayat dipercayai berada dalam air itu melebihi 24 jam.