MAFI kenal pasti jenis padi tahan lasak terhadap cuaca

Ronald (dua dari kiri) merasmikan Program SMART SBB di Koperasi Kerjaya Permatang Nibong pada Selasa.
Ronald (dua dari kiri) merasmikan Program SMART SBB di Koperasi Kerjaya Permatang Nibong pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengenal pasti jenis padi yang lebih tahan lasak terhadap keadaan cuaca Monsun Barat Daya dalam usaha memastikan bekalan padi mencukupi di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penanaman padi amat berkait rapat dengan pengaruh cuaca dan kementerian melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) telah bersedia dengan langkah yang akan diambil.

Menurutnya, penambahbaikan langkah-langkah akan diambil oleh IADA, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengurangkan kesan kepada bekalan padi ketika musim banjir atau hujan lebat.

"Faktor cuaca antara perkara yang kita perlu hadapi dalam industri padi dan beras negara kerana tanaman ini amat berkait rapat dengan pengaruh cuaca terutamanya banjir serta kemarau.

"Selain bersedia dengan langkah-langkah penambahbaikan untuk mengurangkan kesan terhadap hasil tanaman, kementerian juga mempunyai beberapa peruntukan dana untuk menampung sedikit kerugian yang dialami pesawah.

"Selain itu, kita juga akan mengenal pasti variati-variati padi yang lebih tahan terhadap perubahan cuaca. Kita sudah bersedia dengan beberapa langkah serta penambahbaikan dalam usaha mengurangkan impak cuaca tidak menentu sekali gus mengelakkan daripada berlakunya krisis makanan pada masa hadapan," katanya.

Ronald sebelum itu merasmikan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan kelima-lima syarikat peneraju Pulau Pinang di Koperasi Kerjaya Permatang Nibong pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain Malaysia, kesan terhadap konflik atau krisis berkaitan makanan turut dirasai oleh hampir semua negara.

"Krisis ini termasuk kekurangan bekalan serta peningkatan kos pengangkutan selain pengeluaran yang menjurus ke arah konflik tersebut. Tentu sekali kita mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan itu (kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang) kepada rakyat Malaysia.

"Bekalan ayam contohnya, kita meletakkan harga siling sebanyak RM8.90, namun dalam keadaan sedemikian, kita juga terpaksa mengeluarkan subsidi bagi menampung kos pengeluaran yang ditanggung pihak industri," ujarnya.

Tambahnya, Malaysia mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan impak serta kesan daripada kenaikan kos harga bahan makanan yang sedang berlaku.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula Sabtu lalu akan berterusan sehingga pertengahan September tahun ini.

Bagi tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera stabil.

Ia juga akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain serta menghasilkan taburan hujan yang rendah.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata, keputusan kerajaan India untuk menghentikan eksport gandum turut memberi kesan kepada Malaysia yang mengimport bahan makanan tersebut dari negara Asia Selatan itu.

"Sudah tentu semua pengimport akan mencari alternatif atau sumber gandum dari negara lain. Kita tidak menanam gandum tapi kita ada kapasiti untuk menanam jagung serta tanaman lain untuk keperluan sumber makanan negara.

"Masalah ini (penghentian eksport gandum) sedang diurus oleh pihak yang berkenaan walaupun terpaksa berdepan peningkatan pelbagai kos berkaitan ketika ini," katanya.

Pengeluar gandum kedua terbesar dunia, India menghentikan pengeluaran atau eksport gandum berkuat kuasa serta merta bermula Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Persekutuan susulan gelombang haba disebabkan cuaca panas yang menjejaskan hasil tanaman sehingga turut meningkatkan harga tempatan yang mencecah rekod tertinggi.