Bangunan kedai, pejabat Livistonia VIII habis terjual

Bangunan kedai dan pejabat tiga tingkat Livistonia VIII di Setia Tropika, Kempas mempunyai kedudukan yang strategik dan mudah diakses dari Bandaraya Johor Bahru.
Bangunan kedai dan pejabat tiga tingkat Livistonia VIII di Setia Tropika, Kempas mempunyai kedudukan yang strategik dan mudah diakses dari Bandaraya Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bangunan kedai dan pejabat tiga tingkat Livistonia VIII di Setia Tropika, Kempas di sini yang dilancarkan pada pertengahan Februari lalu, habis terjual dalam masa seminggu.

Pengurus Besar Setia Tropika, Saniman Amat Yusof berkata, kejayaan itu susulan kelonggaran terhadap sekatan dikenakan untuk sektor perniagaan selepas wabak Covid-19.

Menurutnya, Livistonia VIII bukan sahaja merangsang perniagaan tetapi juga memberi lebih banyak kemudahan kepada penduduk di Setia Tropika.

"Livistonia VIII yang mempunyai 30 unit bangunan kedai dan pejabat mampu menampung atau memberikan perkhidmatan untuk 60,200 penduduk dalam kawasan perbandaran dan sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kedudukannya strategik dan berada di lokasi utama Bandaraya Johor Bahru, Livistonia VIII amat sesuai untuk mereka yang menjalankan perniagaan dengan kemudahan pejabat dalam kawasan bandar.

Dengan keluasan 4,595 kaki persegi, unit Livistonia VIII dibina untuk menyediakan ruang yang kondusif dan fleksibel untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan.

Kepadatan penduduk yang rendah juga memastikan eksklusiviti untuk perniagaan. Bangunan kedai dan pejabat Livistonia VIII mempunyai jaringan perhubungan yang baik untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (Johor ke Kuala Lumpur) dan susur keluar Jalan Kempas Baru.

Lokasinya juga dekat terletak hanya 1.5 kilometer dari kawasan perumahan Setia Tropika yang mempunyai banyak kemudahan antaranya kedai makan termasuk kedai serbaneka.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM4.17 bilion, Setia Tropika ialah sebuah perbandaran berpagar dan berkawal di Kempas.