Penunggang maut motosikal terbabas langgar tiang elektrik

Lokasi kemalangan di KM37,Jalan Pekan-Rompin di sini yang meragut nyawa seorang penunggang selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum melanggar tiang elektrik pada Selasa. (Gambar kecil: Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.)

A
A
A

PEKAN - Seorang penunggang maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 37, Jalan Pekan-Rompin di sini pada Selasa.

Dalam nahas kira-kira jam 2 pagi itu, Suzhari Che Yusoh, 38, berasal dari Kuala Krai, Kelantan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pekerja swasta itu dalam perjalanan dari Rompin menghala ke Pekan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda RSX ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

"Ekoran kejadian mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaidi berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.