Terminal Amanjaya: Pertemuan positif dengan MB

Mohd Tarmizhi (kiri) bersama Ahmad Faizal (dua kiri) ketika mengadakan perjumpaan di Pejabat Menteri Besar Perak, 20 Mac lalu.
Mohd Tarmizhi (kiri) bersama Ahmad Faizal (dua kiri) ketika mengadakan perjumpaan di Pejabat Menteri Besar Perak, 20 Mac lalu.
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Kebajikan Agen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage Medan Gopeng mengharapkan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 20 Mac lalu dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Pengerusinya, Mohd Tarmizhi Mohd Yusof berkata, pertemuan yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar Perak itu berjalan dengan baik malah maklum balas yang diberikan oleh Ahmad Faizal juga positif.

Katanya, secara keseluruhan pihak persatuan berpuas hati dengan penjelasan dan janji yang diberikan Menteri Besar Perak itu.

"Kita gembira kerana akhirnya dapat jumpa menteri besar dan perbincangan kami berjalan secara baik dan dijanjikan masalah itu akan diselesaikan.

Mohd Tarmizhi (kiri) ketika sidang media mengenai pertemuan dengan Menteri Besar Perak, hari ini.
Mohd Tarmizhi (kiri) ketika sidang media mengenai pertemuan dengan Menteri Besar Perak, hari ini.

"Apa pun kami berterima kasih kepada menteri besar dan kerajaan negeri kerana sudi mendengar keluhan dan cadangan kami, cuma kami berharap agar segala masalah itu dapat diselesaikan segera," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Mohd Tarmizhi berkata, secara dasarnya menteri besar bersetuju dengan cadangan persatuan untuk mewujudkan terminal bas baharu di Silveritage Medan Gopeng.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga menteri besar memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mendapatkan kelulusan menaik dan menurunkan penumpang Silveritage Medan Gopeng.

Artikel Berkaitan:

"Cuma kebimbangan kami dari segi lanjutan pemindahan keluar dari Terminal Amanjaya kerana jika diikutkan kami boleh kekal di Terminal Amanjaya sehingga kerja menaik taraf Terminal Bas Silveritage Medan Gopeng selesai.

"Namun, sehingga kini tiada sebarang surat dikeluarkan terhadap penangguhan itu kerana berdasarkan surat awal pihak Terminal Amanjaya mengarahkan kami berpindah pada 31 Mac ini," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Tarmizhi berharap Menteri Besar Perak dapat membantu menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin.