Aplikasi DiYa platform kembangkan perniagaan emas

Pelancaran DiYa disempurnakan Idris (tengah), Mohd Redza Shah (kanan) dan Idham Adnan di Putrajaya pada Selasa.
Pelancaran DiYa disempurnakan Idris (tengah), Mohd Redza Shah (kanan) dan Idham Adnan di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) secara rasmi melancarkan DiYa iaitu aplikasi mudah alih berupaya mengakses semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan YaPEIM dan anak syarikat milik penuh YaPEIM dengan pantas.

Aplikasi DiYa dilihat bakal menjadi ‘Game Changer’ kepada organisasi tersebut untuk terus berkembang dan kekal relevan kepada masyarakat.

YaPEIM dalam satu kenyataan berkata, sebagai sebuah Institusi Ekonomi Islam Malaysia yang menitik beratkan perniagaan yang telus dan mengikut prinsip syariah, aplikasi DiYa bakal memberi banyak manfaat terutama dalam YaPEIM mengembangkan sektor perniagaannya berkaitan emas.

“Menerusi aplikasi DiYa, pelanggan YaPEIM boleh mengakses secara mudah produk Akaun Emas YaPEIM (SERY) untuk melakukan perkhidmatan membeli dan menjual emas secara dalam talian.

“Para pelanggan juga boleh mendapatkan komisyen apabila memperkenalkan SERY kepada pelanggan lain dan mereka yang membuat pembelian emas di dalam SERY.

“Selain itu perkhidmatan Ar Rahnu YaPEIM Online yang terdapat di dalam aplikasi DiYa dapat memudahkan pelanggan untuk membuat pembayaran semula pinjaman dan caj upah simpan menerusi pautan yang disediakan,”menurut kenyataan itu.

Pelancaran DiYa disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, dan turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, serta Timbalan Ketua Pengarah YaPEIM, Idham Adnan Jamil di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, menurut YaPEIM, aplikasi DiYa turut memberi akses kepada pelanggan setia YaPEIM Gold melalui YaPEIM Gold Digital Store untuk mendapatkan kemas kini produk terbaru YaPEIM Gold serta boleh membuat pembelian secara dalam talian.

“Turut dimuatkan di dalam aplikasi DiYa juga pautan YaPEIMall yang mana ia boleh membantu usahawan-usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka menerusi platform digital secara percuma dan lebih inklusif.

“Menerusi aplikasi DiYa, pengguna boleh menyumbang atau bersedekah secara lebih pantas dan mudah melalui pautan yang tersedia,” kata kenyataan itu.

DiYa yang dibangunkan pada November 2020 dan mula diperkenalkan kepada umum pada 1 Mac 2021 dan seramai 13,546 pelanggan yang telah mendaftar dan jumlah ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.