Pan-gon panggil De Paula sertai kem latihan Harimau Malaya

De Paula tersenarai dalam 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Khamis ini.
De Paula tersenarai dalam 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Khamis ini.
A
A
A

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Guilherme de Paula kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan apabila tersenarai dalam 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Khamis ini.

Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, keputusan tersebut kerana mahu melihat prestasi pemain naturalisasi di depan matanya sendiri selain mahu mewujudkan suasana kompetitif dalam kem latihan kali ini.

“Saya faham ia satu kejutan apabila kami menyenaraikannya dalam kem latihan pusat kali ini. Apabila saya memilih pemain ia bukan disebabkan individu itu semata-mata tapi tapi lebih kepada kebaikan untuk kumpulan.

“Sebab pada akhir manti saya tidak mahu menyesal dengan keputusan yang dibuat. Walaupun banyak orang berkata mengenai dirinya, tapi saya mahu lihat dia bermain di depan mata saya sendiri.

“Malah saya juga ada bawa sembilan muka baharu bagi kem latihan pusat kali ini untuk mewujudkan suasana kompetitif dalam pasukan.

“Kesemua pemain ini masih belum tentu berada dalam senarai akhir kerana semua akan dinilai terlebih dahulu sebelum disenarai dalam senarai akhir. Saya harap anda memahami keputusan yang dibuat,” katanya pada sidang media pengumuman senarai 29 pemain yang akan ke kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 19 Mei ini.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, Pan-gon mengekalkan 20 pemain daripada senarai 25 pemain yang dibawa ke Singapura bagi dua perlawanan FAS Tri-Nations Series 2022 bertemu Filipina dan Singapura pada Mac lalu.

Antara muka baharu yang dipanggil kali ini ialah Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Junior Eldstal, Norshahrul Idlan Talaha selain Syahmi Safari dan Darren Lok yang tidak dapat bersama pada kem latihan pusat, Mac lalu serta Nazmi Faiz Mansor.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai keputusannya untuk tidak menyenaraikan pemain tengah JDT, Natxo Insa dalam 29 senarai terakhir, Pan-gon menjelaskan, ia dibuat selepas mengambil kira beberapa aspek selepas menerima 333 laporan pemain daripada barisan kejurulatihan.

“Alasan yang sama kerana terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat termasuklah dari segi aspek taktikal dan fizikal.

“Sebagai jurulatih saya tidak ada magis untuk membentuk pasukan yang terbaik. Tapi saya boleh katakan barisan pemain ini lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.