Kes dera kanak-kanak lelaki, pekerja kontraktor sambilan direman 7 hari

Mohamad Farouk Eshak
Mohamad Farouk Eshak
A
A
A

AMPANG - Seorang pekerja kontraktor sambilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Pandan Perdana pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 41 tahun itu direman bermula Selasa hingga Isnin.

"Kes itu disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan suspek ditahan di Jalan Besar Taman Dagang di sini pada jam 5.40 petang.

Suspek adalah kawan kepada bapa mangsa yang diminta untuk menjaga kanak-kanak itu kerana ibu bapa kandungnya ditahan di penjara.

Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki yang terdengar tangisan kanak-kanak itu pada jam 1 petang.

Pengadu mendapati kesan kecederaan di muka dan badan kanak-kanak itu sebelum ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.