CPI kurang memberansangkan isyarat penting banteras gejala rasuah

Mohd Zuki. - Foto Bernama
Mohd Zuki. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini merupakan isyarat penting kepada semua pihak bagi membanteras gejala rasuah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia boleh dilakukan dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta.

“Realiti pahit yang perlu kita terima dengan hati terbuka adalah apabila CPI Malaysia menunjukkan kedudukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

“Terkini ia berada di kedudukan 62 berbanding di kedudukan 57 dunia pada tahun 2020.

“Meskipun ia sekadar persepsi, namun realiti ini merupakan isyarat penting kepada kita semua untuk meneruskan tekad membanteras gejala rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu sama ada dalam perkhidmatan awam mahu pun swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 (AIGA 2022) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Mohd Zuki berharap dengan pelaksanaan inisiatif AIGA, ia akan menjadi mekanisme penanda aras terbaik bagi organisasi awam dan swasta.

“Pelaksanaan AIGA ini juga adalah selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) supaya Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukannya rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, anugerah AIGA 2022 buat pertama kali diadakan di peringkat kebangsaan.

“Tiada anugerah seumpamanya di Malaysia. Bermula pada tahun ini, AIGA peringkat kebangsaan akan dijadikan acara tahunan IIM.

“Penyertaan AIGA ini terbuka kepada semua agensi awam dan swasta tanpa mengira saiz organisasi, manakala kriteria penilaian memfokuskan keupayaan dan ketersediaan organisasi dalam proses dalaman,” jelasnya.

Beliau berkata, proses penilaian kriteria AIGA juga akan mengguna pakai standard pematuhan piawaian antarabangsa yang terkini.

Mohd Zuki turut mengalu-alukan penyertaan semua organisasi sama ada sektor swasta atau awam bagi mengambil peluang menyertai AIGA.