Aktifkan semula majlis khas jaminan makanan

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan disarankan agar mengaktifkan semula majlis khas jaminan makanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, krisis makanan merupakan isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.

"Bahan mentah makanan tempatan belum sampai ke peringkat sara diri dan menyebabkan negara terus mengimport bekalan makanan," katanya.

Menurutnya, pengeluaran hasil dalam negara perlu ditingkatkan selagi mana ia berupaya untuk diterokai menggunakan teknologi dan bekalan tenaga kerja.

"Ini semua perkara penting dan saya jangka dalam situasi endemik ini pun, ini yang perlu kita ambil perhatian segera," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan mengaktifkan semula majlis khas itu juga dilihat sebagai salah satu langkah menangani masalah inflasi walaupun ia bukan penyelesaian penuh.

"Banyak kaitan pembangunan sektor agromakanan yang boleh diberikan lebih tumpuan sekaligus mendorong pelabur berminat menerokai sektor pertanian tempatan.

"Semua ini boleh bantu tangani masalah jaminan makanan," katanya.

Sinar Harian melaporkan Malaysia akan mengalami krisis makanan yang teruk sekiranya pelbagai masa lah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik Covid-19 dan peperangan antara Rusia-Ukraine terus berlarutan.

Setiap tahun Malaysia merekodkan lebih dari RM50 bilion import bahan makanan asas seperti beras sebanyak 30 peratus, daging lembu (78 peratus), daging kambing (hampir 90 peratus) dan sayur kobis bulat (60 peratus).

Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, dalam keadaan sekarang, meskipun berhadapan dengan krisis makanan, namun ia tidak terlalu teruk.

Pada 8 September 2020, kerajaan mewujudkan empat kluster sebagai strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan dengan mengoptimumkan sumber sedia ada.

Ia merangkumi Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dua lagi kluster ialah Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan serta Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.

Keempat-empat kluster berkenaan berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti.