Rangka inisiatif tingkatkan kapasiti industri pelancongan

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan disyorkan agar merangka inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan kapasiti pemain industri pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketibaan pelancong ke Malaysia telah berkurang sebanyak 99.5 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun 2019, sebelum pandemik.

"Tindakan China yang masih menutup pintu sempadan turut memberi kesan secara tidak langsung kepada sektor pelancongan negara," katanya.

Menurutnya, sebelum ini negara merekodkan 3 juta pelancong China melawat Malaysia setiap tahun.

"Jumlah tersebut sudah tentu tersebut memberi keuntungan besar kepada negara apabila mereka datang melancong, berbelanja dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam pembentangan mesyuarat tersebut, Tourism Malaysia berpendapat masih terdapat peluang menambah baik sektor pelancongan berikutan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Majlis telah membincangkan cadangan-cadangan Tourism Malaysia dan pada dasarnya menyokong agar dilaksanakan segera bagi memperkukuhkan lagi pemulihan sektor ini," katanya.

Muhyiddin berkata, MPM optimis bahawa prestasi suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan menunjukkan pertambahan yang lebih baik.

"Namun dalam usaha pemulihan negara untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, kita perlu berwaspada dengan cabaran-cabaran global masa kini," katanya.

Tiga perkembangan yang harus dipantau rapat adalah perang di Ukraine, status Covid-19 di China dengan risiko sekatan pergerakan yang berpanjangan serta kemunculan varian baharu Covid-19.

"Majlis juga berpendapat usaha terus perlu dilaksanakan bagi memastikan sektor-sektor ekonomi pulih secara sekata dan peluang pekerjaan berimpak tinggi diwujudkan.

"Ekonomi rakyat perlu diberi keutamaan supaya tiada yang ketinggalan dalam usaha pemulihan negara," katanya.

Ujarnya, MPN turut mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan untuk memberi pengecualian syarat pemilikan ekuiti Bumiputera bagi perolehan tanah melebihi RM20 juta bagi pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan untuk tempoh selama dua tahun, iaitu sepanjang proses pemulihan ekonomi berlangsung.

"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan asing bernilai RM58 bilion tidak dapat direalisasikan kerana kekangan pelabur untuk memenuhi syarat ini," jelasnya.

Beliau berkata, syarat tersebut boleh dikenakan kembali apabila ekonomi pasca pandemik telah pulih sepenuhnya.

"Langkah seumpama ini pernah diambil oleh Kerajaan sebelum ini semasa negara menghadapi krisis ekonomi," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Majlis Pemulihan Negeri dilihat masih relevan meskipun negara sedang beralih ke fasa endemik.

"Iya masih relevan kerana ia berkait dengan peranan kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan.

"Ada sesetengahnya bukan nasional," ujarnya.