Rusia guna senjata 'anak panah kecil' di Ukraine

'Anak-anak panah kecil' digunakan oleh tentera Rusia di Ukraine. - Foto Agensi
'Anak-anak panah kecil' digunakan oleh tentera Rusia di Ukraine. - Foto Agensi
A
A
A

BUCHA - Rusia menggunakan 'anak-anak panah kecil' berupa logam-logam tajam dan digunakan bersama peluru yang ditembak oleh kereta kebal atau digugurkan dari pesawat udara dalam Perang Ukraine.

Pendedahan itu dibuat selepas pakar forensik mengesahkan pada lewat bulan lalu bahawa 'flechettes' atau anak-anak panah kecil telah digunakan ke atas penduduk di bandar Bucha di negara tersebut yang menyebabkan berpuluh-puluh kematian.

Ia juga ditemui oleh seorang penduduk di Irpin apabila beliau menemui banyak anak-anak panah kecil itu di sekitar kawasan perumahannya baru-baru ini.

Pakar senjata bebas yang meneliti gambar anak-anak panah logam ditemui dalam mayat-mayat penduduk di Bucha mengesahkan bahawa ia adalah senjata tersebut.

Amerika Syarikat (AS) telah menggunakannya semasa Perang Vietnam dan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh tentera Israel menggunakannya terhadap orang awam pada tahun 2010 di Gaza, menurut laporan Jabatan Negara AS.

Bagaimanapun, ia jarang digunakan dalam peperangan moden dan penggunaannya tidak diharamkan.

Namun, penggunaannya di kawasan awam adalah dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan teruk apabila ia boleh menembusi badan dan membawa maut. - Agensi