Tewaskan Arsenal kejayaan bermakna buat Newcastle

Penyerang Newcastle United, Bruno Guimares meraikan jaringan keduanya yang membantu kemenangan ke atas Arsenal pada Isnin. - Foto Sportskeeda
Penyerang Newcastle United, Bruno Guimares meraikan jaringan keduanya yang membantu kemenangan ke atas Arsenal pada Isnin. - Foto Sportskeeda
A
A
A

KEMENANGAN 2-0 ke atas Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St Jame’s Park pada Selasa dilihat sebagai satu kejayaan cukup bermakna buat Newcastle United.

Pengendali Newcastle, Eddie Howe berkata, kemenangan berkenaan menyaksikan skuad kendaliannya kini berada pada kedudukan selesa di pertengahan carta EPL.

Malah katanya, dengan berbaki satu perlawanan, skuad The Magpies itu juga berpeluang untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok 10 pasukan terbaik.

“Sebagai pengendali, saya cukup berbangga dengan kemenangan ini kerana ia membuka peluang untuk Newcastle menamatkan saingan musim ini di kedudukan yang lebih baik.

“Namun, apa yang paling membanggakan saya adalah kita berjaya menewaskan pasukan yang berada dalam kelompok enam pasukan terbaik EPL ketika ini.

“Justeru, saya meramalkan peluang untuk memburu slot 10 pasukan terbaik masih terbuka buat Newcastle,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Newcastle membuka jaringan pada minit ke-55 apabila pemain Arsenal, Ben White tertampan bola ke gawang sendiri sebelum Bruno Guimaraes menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 bagi memastikan kemenangan The Magpies.

Kemenangan ke atas The Gunners itu menyaksikan The Magpies kini berada pada kedudukan ke-12 EPL dengan 46 mata hasil 12 kemenangan, 10 kali seri dan tewas 15 kali setelah mengharungi 37 perlawanan.

Mengulas lanjut, Howe berkata, kesebelasan pemain Newcastle berjaya memberikan tentangan sengit kepada Arsenal di sepanjang perlawanan hingga menyukarkan kesebelasan The Gunners untuk mengekang asakan-asakan yang dilancarkan.

Katanya, asakan berkenaan berjaya memberikan tekanan kepada Arsenal hingga menyaksikan benteng pertahanan skuad The Gunners itu lebih ‘terbuka’ pada perlawanan berkenaan.

“Hasil asakan-asakan yang dilancarkan, kami juga berjaya membuatkan benteng pertahanan lawan menjadi kucar-kacir dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh jentera serangan kami untuk meledak jaringan dan memastikan kemenangan,” katanya.