Buruh warga Indonesia maut ditetak rakan senegara

Rumah kongsi lokasi kejadian mangsa ditetak rakan senegara hingga maut pada Isnin.
Rumah kongsi lokasi kejadian mangsa ditetak rakan senegara hingga maut pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Seorang buruh ladang warga Indonesia maut akibat ditetak rakan senegara dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi pekerja di Ladang PKNP Agrotech, Ganchong di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Selamet, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan selain putus sebelah telinga.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan suspek bernama Tony, 32, untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan awal dan keterangan abang kandung mangsa (saksi), suspek tinggal di sebuah rumah kongsi yang letaknya kira-kira 50 meter dari rumah kongsi dihuni mangsa.

"Pada awal pagi hari kejadian, mangsa dikatakan keluar rumah untuk ke tandas berhampiran sebelum suspek tiba-tiba muncul dalam keadaan mengamuk sambil membawa sebilah parang.

"Suspek terus bertindak menetak mangsa dan terkena pada beberapa bahagian badan termasuk di siku, bahu, leher, dahi, belakang kepala dan telinga sebelum bertindak melarikan diri selepas itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaidi berkata, akibat kecederaan parah dialami, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Menurut abang kandung mangsa, dia terserempak dengan suspek kira-kira jam 2 pagi sebelum kejadian di belakang rumah kongsi mangsa dalam keadaan mundar-mandir dan membawa sebilah parang.

"Lelaki itu menegur suspek dan sempat bertanya arah tujuannya kerana disangka hendak pergi memancing namun suspek hanya membisu sebelum beredar kembali ke rumah kongsinya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek yang mungkin tidak puas hati kembali semula sebelum mengambil peluang menyerang mangsa ketika lelaki itu berada di luar rumah.

"Kira-kira jam 7.30 pagi hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan Kuantan berjaya menahan suspek di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan.

"Pihak polis juga berjaya menemui dan rampas parang yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.