X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tiga PPS di Kedah, Negeri Sembilan tempatkan 138 mangsa banjir

Tiga pusat pemindahan sementara di Kedah dan Negeri Sembilan dibuka menempatkan 138 mangsa banjir daripada 48 keluarga setakat pagi tadi. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri dibuka menempatkan 138 mangsa banjir daripada 48 keluarga setakat pagi tadi.

Di KEDAH, seramai 28 mangsa banjir daripada enam keluarga di Baling ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar setakat 9 pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, kesemua mereka adalah penduduk kampung dari Mukim Tawar.

"Pagi ini cuaca cerah di Baling. Air dah surut, mangsa akan ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak APM Baling akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa serta sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

DI NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan dua PPS dibuka iaitu di SK Undang Johol dan Dewan Desa Dangi, Johol, Kuala Pilah melibatkan 110 individu membabitkan 42 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, berlaku kejadian tanah runtuh di N14 Jalan Inas - Kampung Batu berikutan hujan lebat di kawasan berbukit di lokasi tersebut yang menghalang sepenuhnya lalu lintas.

"Susulan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT051 Jalan Kuala Pilah - Seremban atau Laluan FT009 Kuala Pilah - Tampin," katanya di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Darul Widad di Port Dickson turut dinaiki air namun tiada pemindahan dibuat setakat ini.

Hujan lebat berterusan sejak tengah hari semalam menyebabkan beberapa lokasi di tiga negeri dinaiki air, iaitu Kuala Kubu Bharu, Selangor; Nilai, Seremban dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan; serta Baling, Kedah. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!