UUM #QuranHour 3.0 dapat sambutan

Antara pelajar yang memeriahkan #UUM Quran Hour di Masjid Sultan Badlishah.
Antara pelajar yang memeriahkan #UUM Quran Hour di Masjid Sultan Badlishah.
A
A
A

SINTOK - Dalam usaha mendekatkan mahasiswa dengan al-Quran di samping mengimarahkan masjid, Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) UUM dengan kerjasama Pusat Islam, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan kelab-kelab kerohanian UUM menganjurkan program UUM #QuranHour 3.0 di Masjid Sultan Badlishah, di sini.

Program berkenaan turut dijayakan bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang menampilkan Ketua Pegawainya, Fazrul Ismail sebagai penterjemah ayat suci al-Quran.

Fazrul menyampaikan terjemahan surah al-Kahfi kepada peserta yang hadir.
Fazrul menyampaikan terjemahan surah al-Kahfi kepada peserta yang hadir.

Fazrul berkata, program berkenaan adalah inisiatif yang bagus kerana ia diurus sepenuhnya oleh pelajar.

Antara peserta yang hadir dalam peogram berkenaan.
Antara peserta yang hadir dalam peogram berkenaan.

Katanya, program kali ketiga yang diadakan di UUM ini menekankan kebaikan surah Al-Kahfi bermula ayat 1 hingga 10.

"Surah ini antaranya menerangkan peranan pemuda untuk memperjuangkan iman.

"Kerana kumpulan pemuda yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, tapi cabarannya adalah bagaimana kita nak bina pemimpin yang berteraskan iman," katanya kepada Sinar Harian selepas program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Para peserta khusyuk mendengar penjelasan yang disampaikan.
Para peserta khusyuk mendengar penjelasan yang disampaikan.

Menurutnya, konsep pada tahun ini juga agak berlainan berbanding tahun sebelumnya kerana lebih menekankan kemahiran memahami dan menghayati ayat yang dibaca.

"Sebelum ini kita hanya tekankan mengenai bacaan sahaja, tetapi tahun ini kita mahu pelajar dan pensyarah menguasai kemahiran memahami mesej dalam ayat yang mereka baca.

" Insya-ALLAH semoga akan ada lagi program susulan selepas ini supaya kita dapat melebarkan lagi skop program ini contohnya bagaimana cara kita berfikir dan menyelesaikan masalah berteraskan al-Quran," katanya yang teruja melihat sambutan kira-kira 300 peserta dalam program berkenaan.

Antara peserta lelaki yang hadir demi mendalami surah al-Kahfi.
Antara peserta lelaki yang hadir demi mendalami surah al-Kahfi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, program ini merupakan antara cara dakwah untuk menggalakkan generasi muda mendampingi al-Quran.

"Impak kepada program juga dapat dilihat dengan penglibatan kita dalam majlis ini yang sangat bersemangat untuk menjayakan #QuranHour hari ini.

"Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan kepada semua warga kampus di masa akan datang," katanya.

Sahabat Yadim Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan sahabat Yadim negeri Perlis turut hadir memeriahkan program.
Sahabat Yadim Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan sahabat Yadim negeri Perlis turut hadir memeriahkan program.

Dalam pada itu, pengarah program, Muhammad Aizuddin Johari, 22, pelajar Sarjana Muda Perbankan berkata, penganjuran program sebegini dapat membantu mengimarahkan masjid.

"Kalau kita lihat masjid ini besar sebenarnya, tapi sayangnya tak ramai pelajar yang memenuhi rumah ALLAH SWT ini.

"Walaupun kita seorang pelajar, namun tumpuan kita bukan terhadap pelajaran semata-mata, dengan adanya program ini, kita dapat dekatkan pelajar dengan masjid di samping menghayati al- Quran secara beramai-ramai," katanya.

Fazrul (berdiri lima kanan) bergambar bersama sekretariat program.
Fazrul (berdiri lima kanan) bergambar bersama sekretariat program.

Seorang peserta, Nurul Husna Mohd Husni, 21, berkata, program ini merupakan penyertaannya kali kedua sepanjang bergelar pelajar di UUM.

"Alhamdulillah, ini tahun kedua saya turut serta dalam #QuranHour, hari ini saya tak ada kelas, jadi lebih baik saya ikut program di sini daripada terperap di bilik sahaja," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling ini berkata, penganjuran #QuranHour ini membuktikan UUM tidak hanya mementingkan pelajaran semata-mata.

Hendrik (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fazrul
Hendrik (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fazrul

"Tetapi mereka juga menitikberatkan akhirat dengan menekankan pengisian seperti hari ini," katanya.

Turut hadir, Pengurus Perhubungan Strategik dan PR Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Norhayati Nordin.