Hoe Yean hadiahkan dua perak, hampir raih emas

Perenang muda negara Khiew Hoe Yean, meraih dua pingat perak masing-masing dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki. Foto Reuters
Perenang muda negara Khiew Hoe Yean, meraih dua pingat perak masing-masing dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki. Foto Reuters
A
A
A

SKUAD renang kebangsaan akhirnya berjaya menuai pingat pada temasya Sukan SEA ke-31, dengan hampir membutirkan emas pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh di sini, pada Isnin.

Perenang muda negara Khiew Hoe Yean, meraih dua pingat perak masing-masing dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki, sekali gus menceriakan kem renang negara selepas kempunan merangkul sebarang pingat sejak saingan bermula Sabtu lepas.

Hoe Yean merakam masa 3 minit dan 52.03 saat (s) dalam akhir acara 400m gaya bebas yang menyaksikan perenang Vietnam Nguyen Huy Hoang meraih emas dan mencipta rekod baharu Sukan SEA (3:48.06s) sementara gangsa milik wakil Singapura Lim Jun Wei dengan catatan 3:56.68s.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu, kemudian hampir mencipta sensasi meraih emas dalam acara 200m kuak lentang, namun hanya dipisahkan beberapa detik dengan pemenang emas dari Vietnam Nguyen Tran Hung yang mencatat 2:01.58s. Hoe Yean merakam masa 2:01.67s.

Perenang Indonesia Farrel Armandio Tangkas membawa pulang gangsa dengan masa 2:01.80s.

Bercakap kepada pemberita, Hoe Yean mengakui terkilan dan berduka kerana terlepas menghadiahkan emas kepada negara.

"Saya sedikit kecewa kerana saya harapkan suatu yang lebih baik tetapi saya telah pun berikan yang terbaik. Ia agak sukar untuk saya kerana ia hari pertama saya dalam acara renang individu. Mungkin usaha yang saya lakukan dalam acara 400m gaya bebas menjejaskan saya (pada kuak lentang 200m), saya tidak pasti,” katanya.

Sementara itu, Phee Jing En yang merangkul pingat emas 50m kuak dada wanita pada edisi 2019 di Filipina, gagal mempertahankan pencapaiannya apabila menduduki tempat kelima selepas mencatat masa 32.43s pada saingan akhir.

Wakil Singapura Letitia Sim merangkul emas dengan masa 31.43s, Jenjira Srisa-Ard dari Thailand perak (31.63s) dan seorang lagi atlet Singapura Christie Chue gangsa selepas merekodkan 32.10s. - Bernama