JPP ambil serius dakwaan Rafizi

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengambil serius dakwaan kelemahan sistem pengundian parti oleh calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli.

Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, sistem aplikasi Adil yang digunakan untuk pemilihan kali ini mempunyai pelbagai ciri sekuriti untuk mengurangkan sebarang kemungkinan manipulasi dan penipuan.

"JPP mengambil keputusan untuk tidak menggunakan QR code pada kali ini bagi menghapuskan risiko penipuan di mana ianya boleh dicetak berkali-kali.

"Ia juga sekali gus menutup ruang untuk mana-mana anggota melakukan pengundian berganda secara berulang kali. Demi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, maka untuk pemilihan kali ini, JPP mewajibkan penggunaan dakwat calit undi.

"Kami juga memperkenalkan sistem pemantauan ketat yang mana hanya pengawas bertugas mempunyai akses kepada kod kata laluan berbeza-beza bagi membuka kertas undi digital tersebut di peranti pengundian disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, salah satu daripada ciri keselamatan yang dibangunkan ialah ahli boleh menyemak kembali pilihan mereka sebelum menekan butang hantar.

"Selepas penghantaran kepada peti undi mega atau ‘cloud’, sistem akan secara automatik kembali ke muka surat asal.

"Pengawas pula perlu memasukkan kembali kod kata laluan sebelum ke muka surat dimana nombor kad pengenalan dimasukkan, bagi membolehkan pengundi seterusnya mengundi," katanya.

Beliau berkata, JPP hanya membenarkan pengawas sahaja untuk memasukkan nombor kad pengenalan yang dikemukakan oleh ahli.

"Setelah disahkan nombor kad pengenalan yang betul dimasukkan, barulah anggota tersebut boleh mendapatkan kertas undi digital yang bertepatan dengan keanggotaan masing-masing.

"Pengawas adalah pengendali pemilihan yang dipilih dari kalangan rakyat Malaysia yang cukup umur, yang bukan merupakan anggota parti, seperti dari kalangan mahasiswa, NGO dan pihak yang tiada berkepentingan.

"Penyelaras Tempat Undi (PTU) dan petugas pula adalah dari kalangan anggota parti yang tugasnya hanyalah membantu melancarkan proses pemilihan di satu-satu cabang dan mereka dilarang sama sekali berada di ruang pengundian dan dilarang keras dari menyentuh mana-mana peranti yang sepenuhnya di bawah tanggungjawab dan pengawasan pengawas," katanya.

Beliau berkata, JPP boleh mengambil langkah untuk membatalkan keputusan pengundian dan melakukan semula pengundian bagi setiap cabang atau sektor jika didapati ia disebabkan oleh kelemahan sistem Aplikasi Adil.

"Jika keperluan tersebut berlaku maka parti, pimpinan dan akar umbi harus menerima baik sebarang kemungkinan atas keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Pemilihan Parti 2022, demi kebaikan dan ketelusan perjalanan Pemilihan 2022.

"Langkah keselamatan dan ciri-ciri sekuriti sedia ada dalam penggunaan aplikasi Adil, beserta dengan sistem dan proses pengundian yang dikawal rapi, ditambah lagi dengan pengenalan penggunaan dakwat calit undi memastikan pemilihan parti berjalan dengan telus, saksama dan selamat," katanya.