Polis buru lima suspek kes tetak, tikam sampai mati

Dalam video itu, kelihatan seorang wanita didapati memegang senjata tajam dipercayai parang dengan terdapat mangsa yang parah terbaring di atas jalan dan berlumuran darah. - Foto ihsan pembaca/media sosial
Dalam video itu, kelihatan seorang wanita didapati memegang senjata tajam dipercayai parang dengan terdapat mangsa yang parah terbaring di atas jalan dan berlumuran darah. - Foto ihsan pembaca/media sosial
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis telah mengenal pasti identiti lima individu disyaki terlibat menyerang seorang lelaki yang maut selepas ditetak dan ditikam berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika ini pihaknya giat mengesan empat lelaki dan seorang wanita terbabit yang dipercayai bersembunyi di sekitar negeri ini.

"Berdasarkan siasatan, lima suspek tersebut dan lelaki yang maut dalam kejadian itu memang saling mengenali antara satu sama lain, namun kami masih menyiasat motif sebenar pergaduhan membabitkan mereka.

"Polis kini sedang giat memburu semua mereka terlibat dalam kejadian itu dan kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek agar menyalurkannya kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya laporan bedah siasat mendapati lelaki berusia 30-an itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang dan ditikam, dikelar serta ditetak di seluruh badan oleh kumpulan penyerang tersebut.

Shafee berkata beliau juga memohon orang awam yang menyaksikan kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam kejadian 8 malam itu, lelaki yang mengalami kecederaan parah itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia di sana. - Bernama