Nor Sarah raih emas lompat bergalah wanita

Nor Sarah Adi raih emas ke-19 buat kontinjen negara menerusi acara lompat bergalah pada temasya Sukan SEA 2021. Foto Bernama
Nor Sarah Adi raih emas ke-19 buat kontinjen negara menerusi acara lompat bergalah pada temasya Sukan SEA 2021. Foto Bernama
A
A
A

ATLET lompat bergalah wanita kebangsaan Nor Sarah Adi mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas Sukan SEA di Stadium Nasional My Dinh, sekali gus menamatkan kemarau emas 11 tahun bagi Malaysia.

Atlet berusia 22 tahun itu, yang sepatutnya hanya menyertai acara 4x100m wanita pada penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu, muncul juara selepas lompatan terbaik peribadinya dengan ketinggian 4.00 meter (m).

Lompatan itu mengatasi Chonticha Khabut dari Thailand yang melakukan lompatan 3.80m dan Alyana Martinez dari Filipina (3.60m), masing-masing meraih perak dan gangsa.

Tidak terhenti di situ sahaja, atlet berasal dari Pahang itu, kemudian membantu kuartet 4x100m wanita untuk meraih pingat gangsa.

Gandingan Nor Sarah dengan S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias mencatatkan 45.32 saat (s) manakala Thailand (44.39s) dan Vietnam (45.25s) meraih dua tempat teratas.

"Apabila menerima peluang untuk beraksi dalam acara lompat bergalah, peluang sebegini tidak selalu dapat. Jadi saya mahu memberikan yang terbaik walaupun berdepan kekangan masa untuk berlatih kerana hanya ada sebulan, hanya fokus teknik sahaja, tidak fokus asas lain.

Saya juga mengalami kecederaan belakang pada minggu lalu, Alhamdulillah segalanya sudah diatur sebaiknya oleh Tuhan. Saya bersyukur dapat melakukan lompatan 4m, rasa seperti bermimpi apabila memenangi pingat emas ini," katanya kepada pemberita.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara lompat bergalah wanita adalah pada edisi 2011 di Indonesia menerusi Roslinda Samsu, yang muncul juara dengan mencatatkan rekod kejohanan 4.20m ketika itu. - Bernama