Kembali kepada matlamat asal TH

A
A
A

LEMBAGA Urusan dan Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1969 adalah institusi Islam utama negara, menjadi bukti betapa Islam di Malaysia telah dinakhodai dengan makmur oleh kerajaan terdahulu.

Tabung Haji (TH) bukan sekadar menguruskan hal ehwal ibadah haji umat Islam, daripada hanya cerita klasik kesukaran menggunakan ‘tabung buluh’ sebagai simpanan untuk naik haji dan nostalgia kapal laut untuk menunaikan ibadah haji hinggalah wujudnya satu institusi khusus menguruskan hal ehwal haji dan ziarah umat Islam di Malaysia di dua Kota Suci Islam.

Lebih daripada itu, TH amat dihormati pengurusannya di luar negara. Dalam kalangan negara umat Islam mereka menjadikan TH sebagai contoh keberjayaan umat Islam mengurus ibadah haji dengan sempurna dan sistematik.

Sesiapa pun tidak boleh menyangkal fakta itu. Premis TH wujud hampir di segenap pelosok negara. Ini adalah lambang kejayaan umat Islam Malaysia menempatkan diri mereka pada satu tahap yang boleh dibanggakan.

Ironinya, semua ini tidak akan berlaku jika kerajaan yang ada pada hari itu tidak menzahirkan pelbagai polisi memberi keuntungan, memelihara kebajikan dan maslahat para pendeposit TH.

Namun, kebelakangan ini kita mula mendengar isu pengurangan subsidi haji bagi jemaah muassasah kali pertama. Pihak kerajaan dilihat menggunakan alasan konsep ‘istito’ah’ atau ‘kemampuan jemaah’ untuk menghalalkan TH mengurangkan komitmen subsidi yang diberikan selama ini. Tindakan ini bagaikan cuba melupakan matlamat asal penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

Kerajaan harus sedar bahawa matlamat utama penubuhan TH adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh urusan haji rakyat Malaysia.

Ini termasuklah berfungsi menguruskan dana umat Islam bagi memperoleh keuntungan yang membolehkan TH membantu mengurangkan bebanan jemaah dengan menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar yang terendah.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, kerajaan terdahulu sentiasa memastikan TH dapat menyediakan subsidi bagi mengurangkan kos jemaah haji pertama kategori muassasah. Untuk rekod, sudah lebih 10 tahun kadar yang perlu dibayar jemaah haji Malaysia hanyalah sekitar RM9,980 berbanding kos terkini diumumkan YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang telah mencecah RM22,900.

Seingat penulis, ketika berada dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, pernah tiga kali pengurusan TH memohon untuk dinaikkan caj haji kepada jemaah.

Namun Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah bersetuju dan sentiasa memperingatkan mengenai matlamat asal penubuhan TH, malah membantu TH dengan memberikan peluang perniagaan serta pelaburan dalam pelbagai sektor, termasuk hartanah bagi memastikan TH mempunyai kekuatan kewangan yang mantap dan memperoleh keuntungan optimum bagi meneruskan usaha membantu rakyat khususnya jemaah haji.

Apakah kenyataan terbaharu YB Menteri ini memberikan indikasi bahawa Kerajaan PH tidak lagi mahu membantu TH mengembangkan perniagaan mereka?

Atau, apakah ini juga memberikan isyarat bahawa kegagalan penstrukturan semula TH termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 bilion?

Apa pun alasannya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merayu agar YB Menteri yang mewakili Kerajaan PH tidak sesekali melupakan matlamat asal penubuhan TH.

Pemuda UMNO juga mendesak agar kerajaan tidak meneruskan agenda untuk mengurangkan subsidi haji yang pastinya akan membebankan rakyat, khususnya umat Islam di Malaysia pada masa hadapan.

Langkah ini juga dilihat sebagai terkebelakang dalam konteks TH yang telah dikenali sebagai institusi Islam yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia, khususnya juga kepada para pendepositnya yang sentiasa memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada TH untuk membantu mereka mengerjakan rukun Islam di Tanah Suci Makkah.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO