[VIDEO] BN Terengganu janji bina LPT3, 30 masjid jika menang PRU15

Nawi Mohamad
Nawi Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah mempunyai beberapa manifesto yang akan ditawarkan sekiranya berjaya merampas kembali negeri itu daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, manifesto itu akan dilakukan dalam usaha merancakkan kembali pembangunan di negeri tersebut.

"Saya telah hadir dalam satu perjumpaan bersama Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Isnin. Antara janji kita, kalau BN menang pada PRU15, kita nak teruskan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sehingga ke Besut.

"Selain itu, kalau menang di Terengganu juga, kita akan membina 30 masjid dalam masa lima tahun.

"Kita nak menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri maju dan menjana pendapatan orang Terengganu menerusi pelancongan. Jalan empat lorong juga akan dibuat dari Kemaman ke Besut tanpa tol dan secara percuma melalui jalan pantai.

"Jalan itu juga akan melalui Kampung Fikri, Setiu. Datuk Ahmad Said akan buat satu jambatan dan akan ada restoran tengah laut," katanya dalam Majlis Hari Raya anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut, Terengganu, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BesutMaju yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Beliau berkata, Tasik Kenyir juga akan terus dimajukan dalam usaha memastikan lebih ramai pelancong hadir ke negeri tersebut.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada TMESA dan BesutMaju atas komitmen membantu masyarakat Besut.

"Usaha TMESA dan BesutMaju seharusnya dipuji dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan Besut khasnya kepada pembangunan insan.

"Ahli TMESA dan BesutMaju ini walaupun ramai dan berjaya atau menjadi jutawan, tetapi mereka tidak lupa kepada anak-anak Besut yang memerlukan bantuan.

"Ini nilai murni yang perlu dicontohi oleh semua orang iaitu untuk kembali berbakti kepada masyarakat," katanya.