Skuad B23 kekal rekod tanpa kalah

Pemain skuad B-23 negara, melakukan percubaan ke pintu gol Kemboja pada perlawanan berkenaan. - Foto fb FAM
Pemain skuad B-23 negara, melakukan percubaan ke pintu gol Kemboja pada perlawanan berkenaan. - Foto fb FAM
A
A
A

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) mengekalkan rekod tanpa kalah bagi aksi bola sepak lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 apabila terikat 2-2 dengan Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thien Truong pada Isnin.

Bagaimanapun keputusan berkenaan nyata tidak menjejaskan status skuad B-23 negara yang telah pun mengesahkan slot ke saingan separuh akhir lebih awal sebelum ini.

Skuad kendalian Brad Maloney itu yang meraih 8 mata hasil dua kemenangan dan seri dua kali daripada empat perlawanan setakat ini perlu menunggu keputusan perlawanan antara Thailand dan Laos bagi menentukan juara Kumpulan B dan sekali gus mengesahkan lawan yang bakal ditemui pada aksi separuh akhir 19 Mei nanti.

Pada aksi berdepan Kemboja, skuad B-23 negara yang dilihat tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti Luqman Hakim, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Syahir Bashah, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Danial Asri dalam kesebelasan utama bermula baik dengan mengatur asakan ke pintu gol Kemboja dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, hampir kesemua asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Kemboja yang sesekali turut melakukan serangan balas berbahaya ke pintu gol skuad B-23 negara.

Peluang terbaik skuad B-23 negara untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-31 apabila pemain lincah, Muhammad Syafik Ismail berjaya melepasi kawalan pertahanan Kemboja sebelum melakukan hantaran cantik di depan pintu gol.

Bagaimanapun, tandukan penyerang skuad B-23 negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak hanya sedikit tersasar melepasi palang gol Kemboja.

Ketika kedua-kedua pasukan seakan terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan, Kemboja memperolehi sepakan penalti aapbila bola terkena tangan, Quentin Cheng pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Kesempatan itu tidak dipersia-siakan oleh Choun Chanchav untuk merembat deras menewaskan penjaga gol skuad B-23 negara, Muhammad Azri Ghani untuk gol sulung perlawanan.

Bersambung babak kedua skuad B-23 negara dilihat menggandakan asakan bagi meledak jaringan namun dua peluang terbaik diperolehi namun percubaan Mohd Aiman Afif Md AFizul pada minit ke-47 gagal menepati sasaran sebelum tandukan Muhammad Hairiey Hakim Mamat gagal menerjah jaring biarpun pintu gol sudah pun terbuka luas.

Minit ke-51, skuad B-23 negara diberikan sepakan penalti setelah pemain dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Muhammad Hadi Fayyadh bagi menyamakan kedudukan.

Gol berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan skuad B-23 negara untuk terus mengasak ke pintu gol Kemboja bagi menambah jaringan, namun sekali lagi beberapa peluang yang diperoleh gagal dimanfaatkan jentera serangan.

Hasil satu serangan balas, Kemboja berjaya meledak gol kedua menerusi pemain gantian, Narong Kakada yang berjaya melepasi kawalan pertahanan skaud B-23 negara sebelum menewaskan Muhamamad Azri Ghani.

Ketinggalan 1-2 menyebabkan pengendali skuad B-23 negara memasukkan tiga pemain utama Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar bagi mengukuhkan jentera serangan.

Usaha berkenaan berhasil apabila pada minit ke-68, Muhammad Hadi Fayyadh sekali lagi meledak jaringan untuk gol kedua skuad B-23 hasil satu gerakan satu dua yang baik dengan Luqman Hakim sebelum merembat menewaskan Hul Kimhuy untuk kali kedua.

Skuad B-23 kemudiannya sekali lagi memperoleh peluang untuk meledak jaringan, namun rembatan Muhamamd Azam Azmi Murad hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Kemboja.

Penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan namun tiada sebarang tambahan jaringan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan dan menyaksikan kedudukan 2-2 kekal hingga ke wisel penamat.

MALAYSIA – Muhammad Azri Ghani, Quentin Cheng (Muhammad Syahir Bashah), Muhammad Azam Azmi Murad, Muhamammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Muhamamd Nur Azfar Fikri Azhar, (Muhamamf Faeez Amer Runnizar), Ahmad Zikri Mohd Khalili (kapten), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, (Luqman Hakim Shamsudin), Muhammad Safawan Mazlan, Mohd Aiman Afif Md Afizul (Nik Akif Syahiran)

KEMBOJA – Hul Kimhuy, Chea Sokmeng, Chou Sinti (Min Ratanak), Taing Bunchai, Soeuth Nava, Saty (Narong Kakada), Choun Chanchav, Sieng Chanthea (kapten) (Phat Sokha), Sin Sovannmakara, Ky Rina, Yang Daven

PENGADIL - Kabirov Nasrullo