'Walau beza latar belakang politik tetap utamakan rakyat Besut'

Muhammad Nasir (lima dari kiri), Tengku Zaihan (dua dari kiri), Nawi (empat dari kiri) dan Mohd Nurkhuzaini (empat dari kanan) dalam Majlis Hari Raya anjuran TMESA dan BesutMaju yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada Isnin. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhammad Nasir (lima dari kiri), Tengku Zaihan (dua dari kiri), Nawi (empat dari kiri) dan Mohd Nurkhuzaini (empat dari kanan) dalam Majlis Hari Raya anjuran TMESA dan BesutMaju yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada Isnin. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut, Terengganu, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BesutMaju menzahirkan komitmen bekerjasama bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Besut demi pembangunan daerah tersebut.

Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, untuk julung kalinya kedua-dua persatuan itu berjaya menghimpunkan tiga orang ADUN dalam satu program Majlis Hari Raya anjuran TMESA dan BesutMaju yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada Isnin.

Menurutnya, majlis itu juga amat bermakna kerana menjadi medium untuk masyarakat Besut terutama ahli TMESA dan BesutMaju berdialog dengan ADUN demi kebaikan masyarakat Besut.

"Ini sejarah politik moden Besut apabila kita berjaya kumpul tiga orang ADUN. Sepatutnya ada empat orang hari ini, tetapi ADUN Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof tidak dapat hadir kerana ada hal kecemasan.

"Namun, di sinilah terciptanya sejarah dan saya harapkan supaya apa yang berlaku pada hari ini akan berterusan.

"Ini satu politik era baharu di mana kita boleh duduk bersama walaupun latar belakang politik yang berbeza dan lakukan sesuatu demi kebaikan bersama terutama masyarakat Besut," katanya dalam ucapan pada majlis tersebut pada Isnin.

No Image Caption

Tiga ADUN yang hadir ialah ADUN Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad (Barisan Nasional), ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Barisan Nasional) dan ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Pas).

Dalam pada itu, Muhammad Nasir juga menjelaskan Kumpulan Media Karangkraf bersedia untuk menjadi 'Little Besut' untuk sebarang aktiviti yang mahu dilakukan.

"Jika yang berhormat (YB) setuju, saya sarankan untuk apa jua aktiviti melibatkan Besut boleh diadakan di sini. Tidak kisahlah kalau nak buat pesta kebudayaan, pesta makanan atau sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi BesutMaju, Datuk Mohd Nawawi Ismail berkata, pihaknya dan TMESA akan terus memberikan sokongan kepada ADUN di daerah berkenaan dalam usaha memajukan segenap aspek di Besut.

"Kita harus bercakap dalam satu suara dan perlu sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan dan wakil rakyat kita. Matlamat kita inginkan pembangunan dan mahu daerah kita dimajukan.

"Ahli TMESA dan BesutMaju juga terdiri daripada orang yang telah berjaya dan suara mereka mungkin boleh membantu dalam pembangunan yang akan diadakan nanti," katanya.