X

Kindly register in order to view this article
!

Segera lapor polis jika tahu sindiket jual bayi

Hannah (duduk, tengah) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak di Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh menggesa, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket jual bayi untuk tampil membuat laporan polis.

Menurut beliau, kegiatan tidak bertanggungjawab itu perlu dipantau dan diatasi dengan segera.

"Sindiket (jual bayi) ini harus dibanteras memandangkan ia adalah jenayah serius melibatkan kesalahan pemerdagangan manusia.

"Selain itu, kementerian juga memohon supaya masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui rumah-rumah penjagaan yang disyaki terlibat melakukan sindiket terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Hannah memberitahu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan segera bertindak melakukan serbuan dan siasatan di rumah-rumah perlindungan sebaik sahaja menerima laporan mahupun aduan daripada orang awam.

“Jika hasil siasatan mendapati mereka terlibat melakukan kesalahan sindiket jual bayi maka rumah perlindungan terbabit akan diarahkan tutup serta-merta," tegasnya.

Dalam pada itu, Hannah turut menyarankan golongan remaja yang hamil menghubungi talian Kasih di nombor 15999 untuk mendapatkan rujukan bagi tindakan selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi comel, lagi mahal!

Sinar Harian semalam membongkar kegiatan pemerdagangan bayi yang kembali aktif apabila menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan 'bekalan' bayi untuk dijual.

Susulan pembongkaran tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak melakukan pemeriksaan terhadap rumah transit untuk wanita mengandung yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi.

Modus operandinya mudah yang mana rumah jagaan terbabit akan mengambil kesempatan ke atas gadis-gadis yang mengandung luar nikah.

Selepas bersalin, gadis terlanjur perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan tersebut yang sudah mempunyai pembeli.

Jika tidak golongan gadis berkenaan perlu membayar lebih RM9, 500 sebagai kos penjagaan semasa mengandung dan bersalin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus