Menteri Luar Singapura adakan lawatan kerja ke Malaysia

Vivian Balakrishnan
Vivian Balakrishnan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula Selasa hingga Khamis ini.

Kementerian Luar Negeri Singapura dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu bagi memperbaharui dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemimpin Malaysia.

Sempena lawatan itu, Balakrishnan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan ahli politik serta personaliti tanah air yang lain.

Menurut kenyataan sama, beliau juga dijangka menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

“Balakrishnan akan diiringi oleh pegawai dari Kementerian Luar Negeri,” katanya pada Isnin.