10 rumah terjejas banjir kilat di Kampung Sungai Mahang

Keadaan banjir kilat di Kampung Sungai Mahang, Nilai. - Foto JBPM Negeri Sembilan
Keadaan banjir kilat di Kampung Sungai Mahang, Nilai. - Foto JBPM Negeri Sembilan
A
A
A

NILAI - Kira-kira 10 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari di Kampung Sungai Mahang di sini pada Isnin.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB), Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.44 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Berlaku banjir kilat di mana paras air melebihi 1.2 meter dan mengakibatkan 10 buah rumah terjejas. Terdapat juga 10 individu terperangkap di sebuah kedai makan di kawasan tersebut.

"Mereka yang terperangkap terdiri daripada seorang lelaki, lima wanita dan empat kanak-kanak. Kesemuanya berjaya di bawa ke tempat selamat oleh pihak bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, kerja-kerja pemantauan masih dijalankan dan tiada pusat pemindahan dibuka buat masa ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan sehingga jam 3 petang, bacaan paras air semasa di Sungai Linggi menunjukkan paras amaran iaitu 36 meter melebihi paras bahaya 35 meter.

Sementara itu, bacaan hujan di stesen hujan Sungai Linggi mencatatkan bacaan 45.5mm/jam.