Hujan lebat, operasi SAR dua pendaki hilang ditangguhkan

Sebahagian anggota tiba di PKTK selepas operasi SAR hari kedua ditangguhkan berikutan hujan lebat. Gambar kecil dari kiri: Ng Yee Chew, See Su Yen
Sebahagian anggota tiba di PKTK selepas operasi SAR hari kedua ditangguhkan berikutan hujan lebat. Gambar kecil dari kiri: Ng Yee Chew, See Su Yen
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat dua pendaki yang dikhuatiri dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, hujan berterusan sejak tengah hari memberi risiko ke atas keselamatan pasukan penyelamat.

Menurutnya, dua pasukan terdiri daripada 30 anggota ditugaskan mencari di dua titik yang merupakan lokasi anggota badan ditemui iaitu sejauh 500 meter dan 750 meter.

"Keadaan hujan menyebabkan trek menjadi licin selain berisiko berlaku kepala air lagi berikutan tumpuan pasukan kita adalah mencari mangsa di laluan air tersebut.

"Jadi semua pasukan diarah untuk kembali ke pos kawalan dan SAR ditangguhkan dahulu. Operasi akan diteruskan esok," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini pada Isnin.

Muhamad Shahrizal berkata, tiada peralatan atau barangan milik kedua-dua mangsa ditemui sepanjang tempoh dua hari operasi berlangsung.

Muhamad Shahrizal
Muhamad Shahrizal

"Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) akan mengesan petunjuk melibatkan kedua-dua mangsa berikutan keadaan lumpur di lokasi kejadian sedalam 0.3 meter.

"Kita juga akan berpandukan kepada keadaan sekeliling contohnya penemuan bahagian kaki disebabkan dikerumuni oleh lalat selain bau. Tiada peralatan khas diperlukan dalam operasi ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasukan penyelamat menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik pendaki wanita terbabit.

Bahagian kaki kiri itu ditemui kira-kira jam 5.05 petang pada Ahad manakala separuh badan bahagian manusia dijumpai pasukan penyelamat dalam timbunan tanah kira-kira jam 10.20 pagi.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Klang, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.